Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, kejadian jam 6.40 petang itu mengakibatkan mangsa berumur 66 tahun maut.
TAMBUNAN: Seorang lelaki meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki bersama tiga lagi individu lain terbabas sendiri di Kampung Pahu Jalan Tambunan, di sini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, kejadian jam 6.40 petang itu mengakibatkan mangsa berumur 66 tahun maut serta merta di lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis kompak terbabas sendiri di bahu jalan dan dua orang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan menggunakan peralatan khas.
“Dua lagi mangsa lain berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya.
Menurutnya, tiga mangsa dilaporkan cedera dan seorang lagi disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tambunan oleh pihak ambulans KKM untuk menerima rawatan susulan.
“Manakala, mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
“Sebaik memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 8.05 malam,” katanya.