Kebakaran di Kampung Linsuk, Sook memusnahkan tiga rumah, lima kereta dan sebuah motosikal
17:08 Aug 13, 2024  |  By SabahKini2
Kebakaran di Kampung Linsuk, Sook memusnahkan tiga rumah, lima kereta dan sebuah motosikal

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian berkenaan turut memusnahkan lima kereta dan sebuah motosikal.

KENINGAU: Tiga rumah musnah dalam kebakaran pada jam 11.30 pagi di Kampung Linsuk, Sook di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian berkenaan turut memusnahkan lima kereta dan sebuah motosikal.

Katanya, lapan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.35 pagi.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi segera menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan 300 kaki satu aliran, dua pancutan dengan sumber air terbuka iaitu sungai berhampiran.

“Operasi terkawal pada jam 12.40 tengah hari dan tiga rumah jenis tidak kekal masing-masing seluas 26x32, 40x40 dan 20x20 kaki persegi musnah sepenuhnya dalam kebakaran ini.

“Empat kereta termasuk pacuan empat roda, dan dua sedan serta motosikal terbakar sepenuhnya manakala kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kompak terbakar 20 peratus,” katanya.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan punca kebakaran serta jumlah keseluruhan kejadian masih dalam siasatan.

Tambahnya, sebaik memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi di tamatkan pada jam 1.20 petang.

Comment