IPD Ranau rampas 369kg serbuk dan 16 botol cecair ketum
16:08 Aug 14, 2024  |  By SabahKini2
IPD Ranau rampas 369kg serbuk dan 16 botol cecair ketum

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mursalin Mahmud berkata, dua lelaki warga tempatan turut ditahan selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti penjualan cecair dan serbuk ketum.

RANAU: Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJND) IPD Ranau berjaya merampas 369 kilogram serbuk ketum serta 16 botol cecair ketum dalam dua serbuan berasingan di daerah ini bermula 10 hingga 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mursalin Mahmud berkata, dua lelaki warga tempatan turut ditahan selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti penjualan cecair dan serbuk ketum.          

“Bertindak dengan maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan BSJND IPD Ranau membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bongkud, Jalan Kampung Narawang, di sini 10 Ogos.

“Hasil serbuan berjaya menjumpai satu bekas polistrin berwarna putih yang digunakan untuk menyimpan 16 botol cecair hijau berwarna gelap disyaki air ketum.

“Pemeriksaan di sebelah rumah suspek turut menjumpai 11 guni berwarna hijau, tiga guni berwarna putih dan satu bungkusan plastik berwarna hitam masing-masing mengandungi 369 bungkusan serbuk ketum dengan anggaran berat keseluruhan sebanyak 369 kilogram,” katanya.

Beliau berkata, turut ditahan seorang lelaki berumur 41 tahun yang berada di hadapan rumah kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penjualan cecair dan serbuk ketum.        

“Serbuan kedua dibuat pada 11 Ogos di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kaparingan hasil aduan orang awam.

“Polis menahan seorang lelaki warga tempatan dan berjaya merampas satu bekas polistrin berisi beberapa botol air berwarna hijau gelap disyaki air ketum,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, cecair ketum dijual pada harga RM16 sebotol manakala serbuk daun ketum berharga RM100 sebungkus.

“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Sebelum ini IPD Ranau juga berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai memproses air ketum dipercayai untuk dijual kepada pembeli di sekitar kawasan menerusi Ops Tapis.

Serbuan terbabit berjaya merampas peralatan untuk memasak air ketum, cecair ketum, daun ketum yang telah diproses serta 23 botol air minuman 1,500 mililiter yang digunakan bagi menyimpan air mengandungi cecair warna gelap disyaki air ketum.

Comment