JMUU bantu tingkatkan kelas pengajian agama Sabah
16:08 Aug 19, 2024  |  By SabahKini2
JMUU bantu tingkatkan kelas pengajian agama Sabah

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Program JMUU hendaklah dijadikan medium perkenalan dan penyatuan kepada semua guru agama di negeri ini.

KOTA KINABALU: Program Jelajah Madani Ulama dan Umara (JMUU) membantu merancakkan lagi kelas-kelas pengajian agama khususnya di masjid dan surau di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Program JMUU hendaklah dijadikan medium perkenalan dan penyatuan kepada semua guru agama di negeri ini. 

“Sesungguhnya, kerja-kerja dakwah dan mendidik masyarakat bukanlah suatu tugas yang ringan dan mudah. 

"Setiap masa, guru-guru dan pendakwah akan menerima berbagai cabaran dan mehnah yang silih berganti. 

"Oleh itu, program sebegini diharapkan dapat memberikan motivasi dan suntikan semangat baru kepada seluruh yang hadir.

“Bagi memastikan penyampaian guru-guru agama di negeri ini memenuhi kualiti, semua guru agama juga hendaklah memperolehi tauliah mengajar yang dikeluarkan melalui Majlis Ugama Islam Sabah. 

“Kaedah ini diguna pakai bagi memastikan agenda-agenda yang menyimpang dapat dikawal serta dapat menjaga keharmonian hubungan kaum dalam masyarakat di negeri ini daripada anasir-anasir yang tidak baik,” katanya sempena perasmian Program JMUU Peringkat Negeri Sabah 2024, di sini, pada Isnin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji juga meminta agar semua pihak dapat mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat termasuk mendidik golongan muda ke arah kebaikan.

“Sesungguhnya, cabaran dalam mendepani gelombang perubahan zaman yang melanda ummah pada hari ini amat besar.

“Oleh itu, kepentingan peranan ulama dan umara atau pemimpin tidak dapat dinafikan dalam memastikan kesejahteraan serta keharmonian masyarakat, keprihatinan terhadap kepentingan semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang amat penting dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan perpaduan dapat direalisasikan.

“Adalah menjadi suatu tanggungjawab bagi setiap guru agama di negeri ini memahami, menghayati dan bersemangat waja mendidik masyarakat untuk terus celik kepada ilmu agama agar amalan seharian masyarakat berpandukan syariat Islam,” katanya.

Comment