Yee Aleng berharap bapanya dapat lihat kejayaannya raih emas lompat tinggi
16:08 Aug 19, 2024  |  By SabahKini2
Yee Aleng berharap bapanya dapat lihat kejayaannya raih emas lompat tinggi

Yee Aleng, 19, berharap bapa (Ku Boon Euo) dapat lihat kejayaannya hari ini, sejurus kemenangan dilakarnya di Stadium Sarawak itu, dia teringat kepada bapanya yang meninggal dunia tujuh tahun lalu.

KUCHING: "Saya harap bapa (Ku Boon Euo) dapat lihat kejayaan saya hari ini".

Itu luahan atlet lompat tinggi wanita Sabah, Ku Yee Aleng yang mengalirkan air mata selepas memenangi pingat emas sulungnya di Sukma Sarawak 2024, hari ini.

Yee Aleng, 19, berkata sejurus kemenangan dilakarnya di Stadium Sarawak itu, dia teringat kepada bapanya yang meninggal dunia tujuh tahun lalu.

Katanya, bapanya adalah individu yang menentang dirinya menceburi bidang sukan kerana mahu dia fokus kepada pelajaran.

"Jadi, apabila saya sudah menang emas ini, saya agak sedih tidak dapat tunjuk kepada dia yang saya sudah berjaya dalam sukan dan pelajaran," katanya ketika ditemui.

Atlet berasal dari Kunak itu turut berjaya dalam akademik apabila bergelar penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya di Sabah.

Terdahulu, pada aksi final, Yee Aleng merangkul emas dengan lompatan setinggi 1.64 meter (m), mengatasi atlet Pulau Pinang, Melissa Choong yang turut merekodkan catatan sama selepas kedua-duanya gagal dalam percubaan ketinggian 1.67m.

Bagaimanapun, Yee Aleng disahkan sebagai pemenang selepas berjaya melepasi ketinggian 1.64m pada percubaan kedua berbanding Melissa pada percubaan ketiga.

Gangsa acara itu menjadi milik atlet Sarawak, Sylvia Nawan SA yang mencatat 1.54m.

"Saya sangat gembira kerana ini adalah kali pertama saya beraksi di Sukma dan tidak jangka boleh menang.

"Saya bersaing dengan Melissa, dia pencabar yang kuat dan berpengalaman. Saya pula hanya seorang atlet dari daerah kecil di Sabah (Kunak) yang dilatih jurulatih (Mohd Zaid Abdul Razak) dari sana.

"Selain itu, rekod peribadi terbaik saya pun hanya 1.61m sebelum ini, jadi saya bangga dapat buat rekod peribadi di sini," katanya.

Comment