KOTA MARUDU: Seorang pemandu lelaki maut selepas kereta mangsa dipercayai terbabas sebelum terbalik di kawasan kebun pisang Jalan Kampung Langkon dekat sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa yang berusia 36 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, kejadian itu mengakibatkan mangsa tersepit pada bahagian pemandu kereta.
"Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.02 pagi yang memaklumkan kereta dipandu mangsa terbabas dan terbalik.
"Pasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Pihak bomba menamatkan operasi sepenuhnya pada jam 1.42 pagi.