Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, pihaknya mengesan sebuah bot sarat dengan muatan di lokasi berkenaan.
KOTA KINABALU: Sebuah bot ditahan selepas didapati membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan di Pulau Mamutik, di sini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, pihaknya mengesan sebuah bot sarat dengan muatan di lokasi berkenaan.
Katanya, Bot Peronda Maritim Malaysia KILAT 39 yang sedang melaksanakan rondaan di lokasi itu terus menahan dan menjalankan pemeriksaan ke atas bot berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran pada badan bot tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dan nombor siri enjin juga tidak sama seperti yang tercatat dalam lesen.
“Selain itu, bot berkenaan juga didapati membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, bot bersama juragan ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk siasatan lanjut, manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM80,000
Suhaimi berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkenaan salah laku atau aktiviti jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.