Wanita sakit sawan berjaya diselamatkan selepas jatuh dalam air
21:08 Aug 22, 2024  |  By SabahKini2
Wanita sakit sawan berjaya diselamatkan selepas jatuh dalam air

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, wanita berusia 34 tahun terbabit dilaporkan mengalami penyakit sawan sebelum terjatuh ke dalam air di bawah rumahnya.

SANDAKAN: Seorang wanita berjaya diselamatkan selepas terjatuh ke dalam air melalui lubang lantai rumahnya di Jalan Buli Sim-Sim Jambatan 23, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, wanita berusia 34 tahun terbabit dilaporkan mengalami penyakit sawan sebelum terjatuh ke dalam air di bawah rumahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.24 pagi.

Katanya, seramai 11 anggota dan pegawai bersama tiga buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba mendapati terdapat seorang wanita dipercayai mengalami sakit sawan telah jatuh ke dalam air melalui lubang lantai rumahnya.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya diangkat oleh keluarganya sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak membantu membawa naik mangsa ke daratan bersama dengan penduduk kampung.

“Mangsa yang separa sedar itu diberikan rawatan awal oleh pihak bomba dan diserahkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke Hospital Sandakan.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.55 pagi,” katanya.

Comment