Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara projek utama itu termasuklah Projek Hidro Elektrik dan Loji Janakuasa Gas Asli bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik yang mencukupi di negeri ini buat masa ini dan akan datang.
KOTA KINABALU: Majlis Tenaga Sabah (MTS) meluluskan beberapa projek kritikal untuk pembangunan penjanaan berjumlah kapasiti 700 Megawatt ke arah memulihkan Sistem Grid negeri ini dalam mesyuarat keduanya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara projek utama itu termasuklah Projek Hidro Elektrik dan Loji Janakuasa Gas Asli bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik yang mencukupi di negeri ini buat masa ini dan akan datang.
Katanya, mesyuarat MTS juga mendengar maklum balas daripada Energy Commission of Sabah (ECoS) berkenaaan perkembangan projek penjanaan penting lain yang sudah diambil tindakan hasil keputusan yang dibuat pada mesyuarat MTS pertama Jun lalu.
“Ini termasuklah keputusan perlaksanaan projek sumber tenaga masa hadapan iaitu potensi dan kaedah pembangunan hidro elektrik secara meluas di Sabah menerusi kajian Sabah Hydro Development Masterplan yang sedang dilaksanakan oleh ECoS serta kaedah pembangunan loji Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) melalui konsep Projek Perintis Permulaan”, katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kedua MTS di Menara Kinabalu di sini pada Khamis.
Hajiji berharap segala usaha yang dilaksanakan itu akan mendatangkan manfaat terbaik dalam merealisasikan pencapaian tenaga yang berdayaharap, mampu milik dan mampan untuk masa kini dan akan datang.
Katanya, ini adalah selari dengan Pelan Induk Tenaga - Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040) untuk kemajuan Sabah dan memberi manafaat kepada rakyat negeri ini.
MTS ditubuhkan berikutan penyerahan kuasa kawal selia tenaga daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan untuk menggantikan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah.