Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, mesyuarat Kabinet Kerajaan Sabah hari ini mengesahkan tidak pernah membuat sebarang komitmen kewangan bagi penganjuran Sukan SEA 2027.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak pernah membuat sebarang komitmen kewangan bagi penganjuran bersama temasya Sukan SEA 2027 di negara ini.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata perkara itu disahkan pada mesyuarat mingguan Kabinet negeri, hari ini.
"Mesyuarat Kabinet Kerajaan Sabah hari ini mengesahkan tidak pernah membuat sebarang komitmen kewangan bagi penganjuran Sukan SEA 2027.
"Kerajaan Sabah juga belum bersedia menjadi 'co-host' (penganjur bersama) kerana kemudahan sukan di Sabah masih perlu ditingkatkan," katanya menerusi satu perkongsian di X, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeo, mengumumkan bahawa Malaysia menerima tawaran menganjurkan Sukan SEA 2027 dengan Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju menjadi hos bersama Kuala Lumpur.
Katanya, kos keseluruhan penganjuran sukan itu dianggarkan mencecah RM700 juta berdasarkan kos Sukan SEA 2017, dengan kerajaan Sarawak bersetuju menampung 50 peratus iaitu lebih RM300 juta, manakala Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang pula RM15 juta.
Pada Julai lalu, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin mengesahkan dipelawa oleh Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) untuk sama-sama menganjurkan sukan berkenaan.
Katanya, kementeriannya juga sudah menghantar beberapa cadangan mengenai acara sukan yang sesuai di negeri ini, namun perkara itu tertakluk kepada hasil perbincangan dengan kerajaan negeri