Gamuda akan laksana projek hidroelektrik di Sabah
16:09 Sep 06, 2024  |  By SabahKini2
Gamuda akan laksana projek hidroelektrik di Sabah

Projek Hidroelektrik Ulu Padas terletak di daerah Tenom dan Sipitang, dengan kapasiti terpasang 187.5 MW, menghasilkan purata 1,052 GWj tenaga bersih setiap tahun.

KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd melalui sebuah usaha sama menerima surat pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) untuk projek Hidroelektrik Ulu Padas.

Dalam satu kenyataan, Gamuda berkata projek itu akan dibangunkan oleh Upper Padas Power Sdn Bhd (UPPSB), sebuah anak syarikat milik penuh UPP Holdings Sdn Bhd, yang merupakan syarikat usaha sama (JV) Gamuda dengan 45 peratus kepentingan ekuiti, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (40 peratus) dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd (15 peratus).

UPPSB akan mereka bentuk, membina dan mengendalikan projek Hidroelektrik Ulu Padas melalui perjanjian pembelian tenaga selama 40 tahun yang akan dimeterai dengan Sabah Electricity Sdn Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata sebaik siap, projek itu dijangka menjana pendapatan lebih RM400 juta setahun.

Projek Hidroelektrik Ulu Padas terletak di daerah Tenom dan Sipitang, dengan kapasiti terpasang 187.5 MW, menghasilkan purata 1,052 GWj tenaga bersih setiap tahun.

"Projek Hidroelektrik Ulu Padas dijangka mencapai tarikh operasi komersial berjadual (SCOD) menjelang akhir 2030.

Sebuah loji solar terapung hibrid akan disepadukan ke dalam kawasan takungan," tambahnya.

Comment