PDRM masih menunggu dan hormat keputusan pihak berkuasa Filipina – Jauteh
16:09 Sep 06, 2024  |  By SabahKini2
PDRM masih menunggu dan hormat keputusan pihak berkuasa Filipina – Jauteh

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, PDRM menghormati tindakan yang diambil pihak berkuasa Filipina terhadap individu dari negara ini yang didapati memasuki wilayah negara itu secara haram.

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu perkembangan dari pihak berkuasa Filipina berhubung penahanan pelancong warga China dan tiga warga Malaysia selepas dikesan memasuki perairan negara itu secara haram, pada Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun, berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat terbaharu berkaitan kes itu.

Katanya, PDRM menghormati tindakan yang diambil pihak berkuasa Filipina terhadap individu dari negara ini yang didapati memasuki wilayah negara itu secara haram.

“Setakat ini belum ada maklumat lanjut yang kita terima daripada pihak berkuasa Filipina dan perkembangan terbaharu sepertimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini.

“Maklumat mengatakan mereka sudah dipindahkan di Manila juga belum diterima dan kita percaya apabila berlaku pergerakan sudah tentu pihak berkuasa di sana masih melaksanakan siasatan lanjut.

“Apa yang saya boleh katakan, kita tunggu keputusan pihak berkuasa Filipina dan kita hormati keputusan yang diambil walaupun kita mencadangkan dan mengharapkan untuk membebaskan mereka tetapi segala pelaksanaan undang-undang terletak sepenuhnya kepada Filipina,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Bil 68 Siri 3/2024 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini.

Ahad lalu, lapan warga China dan tiga warga Malaysia ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di perairan Sitangkai, Tawi-Tawi, di selatan negara itu.

Tindakan itu selepas kesemua individu terbabit dikesan memasuki wilayah Filipina dengan menaiki dua bot laju tanpa dokumen yang sah.

Difahamkan pelancong terbabit sedang bercuti di Semporna dan didakwa memancing di perairan Malaysia sebelum bot yang dinaiki tidak sengaja memasuki perairan Filipina akibat cuaca buruk.

Dalam pada itu, Jauteh juga memaklumkan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi menerangkan perihal indikator jenayah di Sabah dan Malaysia yang akan diperbaharui.

Comment