Sabah komited tingkatkan momentum pelaburan China
15:09 Sep 09, 2024  |  By SabahKini2
Sabah komited tingkatkan momentum pelaburan China

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hubungan ekonomi Sabah dengan China dipacu oleh perdagangan, pelaburan, dan projek kolaboratif yang kukuh merentasi pelbagai sektor.

KOTA KINABALU: Sabah komited untuk tingkatkan momentum pelaburan dari China sekali gus memastikan negeri ini terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hubungan ekonomi Sabah dengan China dipacu oleh perdagangan, pelaburan, dan projek kolaboratif yang kukuh merentasi pelbagai sektor.

"Bagi sektor pembuatan, sehingga kini negeri kita telah menerima pelaburan berjumlah RM3.07 bilion daripada China. Ia telah mewujudkan 3,086 pekerjaan.

"Pelaburan ini melibatkan pembuatan solar kaca, pemprosesan silika, pembuatan makanan, produk getah, produk berasaskan kayu dan produk plastik.

"Saya telah menegaskan sejak awal lagi bahawa Sabah adalah mesra pelabur, kami akan memudahkan semua rintangan untuk mempercepatkan pelaburan. 

"Sehubungan dengan itu, Sabah juga berharap dapat meningkatkan kerjasama dengan China dalam bidang tenaga hijau, pembuatan, pertanian berteknologi tinggi dan pembangunan bandar pintar, antara lain untuk mempromosikan manfaat bersama dan perkongsian menang-menang.
 
"Kerjasama diantara Malaysia dan China telah maju dengan ketara, dengan kedua-dua negara terus bekerjasama untuk mempromosikan kepentingan bersama, saya yakin bahawa kerjasama ini akan terus berkembang," katanya ketika merasmikan Persidangan Ketujuh Persatuan Longchuan Global, di sini, kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.

Hajiji berkata, sektor tenaga menawarkan peluang besar, walaupun minyak dan gas kekal sebagai sumber pendapatan penting bagi Sabah.

"kami mengalu-alukan pelabur untuk turut meneroka Ekonomi Biru, teknologi solar dan penyimpanan, hidro, geoterma, serta peluang pasaran karbon.

"Saya gembira mengetahui bahawa kita mempunyai peserta dari pelbagai latar belakang, termasuk usahawan bersama-sama di sini.

"Kerajaan negeri menggalakkan anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Sabah dan potensi pelaburannya serta mengalu-alukan anda semua untuk melabur di sini," katanya.

Menurutnya, selain hubungan dua hala yang kukuh, aspek lain yang perlu diberi perhatian adalah hubungan kekeluargaan yang kuat antara suku Longchuan dengan Sabah.

"Terdapat komuniti Longchuan yang sangat besar di Sabah dengan lebih 100,000 orang berketurunan Longchuan. Ramai diantara anda mempunyai saudara di sini juga, dan saya pasti itu akan menjadikan lawatan anda ke Sabah lebih bermakna.

"Terima kasih kepada Pengerusi Longchuan Global, Dr. Wu Huiquan dan ahli lembaga pengarahnya kerana memilih untuk mengadakan persidangan ini di Sabah. 

"Terima kasih juga kepada Presiden Persatuan Longchuan Malaysia, Chong Su Leong dan ahli Jawatankuasa Pusat anda kerana menjemput saya untuk menyampaikan ucapan pada persidangan ini," katanya.

Comment