Serangan siber NATO, EU didalangi kumpulan GRU Russia, dakwa Jerman
16:09 Sep 09, 2024  |  By SabahKini2
Serangan siber NATO, EU didalangi kumpulan GRU Russia, dakwa Jerman

Amaran itu dikeluarkan pada masa kebimbangan memuncak di Eropah terhadap penggodam dan pengintip Russia, yang disyaki berleluasa sejak pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada 2022.

BERLIN: Agensi perisikan domestik Jerman memberi amaran bahawa kumpulan siber milik Unit perisikan tentera (GRU) Russia 29155 melakukan serangan siber terhadap negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO dan Kesatuan Eropah (EU).

Dalam catatan di platform media sosial X pada Isnin, Bundesverfassungsschutz berkata ia mengeluarkan amaran terhadap kumpulan dikenali sebagai UNC2589 itu bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) dan agensi keselamatan siber AS, CISA, NSA serta rakan kongsi antarabangsa lain.

Amaran itu dikeluarkan pada masa kebimbangan memuncak di Eropah terhadap penggodam dan pengintip Russia, yang disyaki berleluasa sejak pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada 2022.

Awal tahun ini, Berlin menuduh Russia melakukan banyak serangan siber terhadap Demokrat Sosial yang memerintah Jerman serta syarikat dalam sektor logistik, pertahanan, aeroangkasa dan teknologi maklumat (IT).

Dalam amarannya, agensi perisikan itu berkata kumpulan terbabit, juga dikenali sebagai Cadet Blizzard atau Ember Bear, menjalankan aktiviti bagi tujuan pengintipan dan sabotaj yang sering melibatkan merosakkan laman sesawang dan penerbitan data yang dicuri.

Unit GRU yang dimilikinya terkenal kerana disyaki terlibat dalam kes meracun bekas ejen berganda Russia, Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia, di Britain pada 2018, menurut agensi itu.

Comment