Eakapol Jantawong berkata, berdasarkan pengalamannya bersama pasukannya 'Wild Boars' dulu, beliau menggunakannya untuk mengharungi banjir dan ribut yang dibawa Taufan Yagi di rumahnya di daerah Mae Sai di utara Thailand.
BANGKOK: Jurulatih pasukan bola sepak muda Thailand yang pernah tular pada 2018 apabila terperangkap di dalam gua selama tiga minggu akibat banjir, sekali lagi berdepan kesukaran yang sama apabila terperangkap di atas bumbung rumahnya.
Eakapol Jantawong berkata, berdasarkan pengalamannya bersama pasukannya 'Wild Boars' dulu, beliau menggunakannya untuk mengharungi banjir dan ribut yang dibawa Taufan Yagi di rumahnya di daerah Mae Sai di utara Thailand.
Katanya, air banjir naik secara tiba-tiba di kampungnya pada Selasa lalu menyebabkan dia dan keluarganya tidak dapat menyelamatkan diri ke tempat selamat.
"Saya terpaksa memanjat ke atas bumbung rumah bersama teman wanita dan ibu saudaranya. "Saya takut tetapi saya memaksa diri untuk bertenang, tunggu dan nilai keadaan.
"Sebaik banjir surut, saya ke tingkat bawah tetapi tidak boleh keluar kerana arus di luar masih terlalu kuat," katanya.
Eakapol dan pasukan bola sepaknya pernah terperangkap pada tahun 2018 akibat banjir kilat di kompleks gua Tham Luang, yang kemudiannya berjaya diselamatkan selepas operasi menyelamat antarabangsa dilakukan.
Beliau berkata, pengalaman terperangkap di dalam gua mengajarnya bagaimana untuk menghadapi situasi banjir.
"Saya tidak fikir ia berbeza. Pertama, kita perlu fokus dan mula menyelesaikan masalah yang dihadapi.
"Saya tidak berasa lebih tekanan dengan terkandas ini, sebaliknya nampak lebih banyak jalan keluar," katanya yang berharap tidak akan berdepan dengan situasi itu lagi pada masa hadapan.
Hujan lebat berhari-hari yang dibawa oleh Taufan Yagi mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di utara Thailand, Vietnam, Laos dan Myanmar.