LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas maut selepas lori tangki yang dipandunya terbabas dan jatuh gaung sedalam 10 meter, di Batu 18 Jalan Sandakan-Lahad Datu, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 72 tahun itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.42 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama empat jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan simen terbabas sendiri dan jatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter.
“Pemandu lori terbabit tersepit dan tertimbus di dalam tanah, sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba kira-kira jam 12 tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah akibat tertimbus dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital dan kes diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.