Trump nekad tidak bertanding lagi jika tewas November depan
17:09 Sep 23, 2024  |  By SabahKini2
Trump nekad tidak bertanding lagi jika tewas November depan

Trump berdepan persaingan sengit menentang Naib Presiden AS, dari parti Demokrat Kamala Harris, dengan tinjauan pendapat menunjukkan peluang mereka sama rata, walaupun Harris dikatakan semakin mendapat sokongan.

WASHINGTON: Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) Republikan, Donald Trump, memaklumkan beliau tidak akan membuat pencalonan keempat berturut-turut bagi jawatan itu sekiranya tewas dalam pemilihan 5 November depan.

Beliau mendedahkan keputusan nekadnya itu kepada Sharyl Attkisson, hos program temu bual rancangan televisyen, 'Full Measure' yang diterbitkan semalam.

"Ini kali terakhir," katanya ketika ditanya mengenai pendiriannya sama ada akan bertanding semula dalam tempoh empat tahun lagi sekiranya tidak berjaya dalam cubaan kali ini untuk kembali menerajui Rumah Putih.

Bekas Presiden AS berusia 78 tahun itu berkata beliau tidak melihat dirinya akan bertanding selepas empat tahun lagi dan berharap cubannya kali ini berjaya.

Trump berdepan persaingan sengit menentang Naib Presiden AS, dari parti Demokrat Kamala Harris, dengan tinjauan pendapat menunjukkan peluang mereka sama rata, walaupun Harris dikatakan semakin mendapat sokongan.

Trump melancarkan bidaan pemilihan semula pertamanya untuk pemilihan 2020 pada hari sama beliau dilantik Presiden AS pada 2017 dan mengumumkan hasrat untuk bertanding kali ini dua tahun lalu, pada November 2022.

Trump enggan menerima kekalahannya pada 2020 kepada Presiden AS dicalonkan Demokrat, Joe Biden dan masih mendakwa berlaku penipuan undi yang meluas, malah menghadapi tuduhan jenayah Persekutuan dan negeri atas dakwaan cuba membatalkan keputusan pilihan raya.

Bagaimanapun beliau menafikan sebarang salah laku dan menyifatkan dakwaan itu sebagai serangan politik terhadapnya.

Trump juga melancarkan beberapa usaha niaga di tengah-tengah kempen terbarunya termasuk Trump Media, NFT, dan kasut berjenama Trump, syiling serta kripto.

Sementara itu, Harris, 59, cuba menggambarkan pencalonannya sebagai detik kritikal bagi demokrasi AS walaupun beliau cuba memberi tumpuan kepada isu masyarakat seperti kos untuk keluarga dan perumahan.

Trump, yang bercakap dengan Attkisson di pusat peranginan Florida, juga berkata masih 'terlalu awal' untuk membuat perjanjian dengan orang ramai bagi sebarang jawatan dalam Kabinet Rumah Putihnya sekiranya beliau menang pada November.

Comment