Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, berkata begitu juga isu pelantar benua yang kekal berada dalam wilayah negeri seperti diisytiharkan dalam North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.
KOTA KINABALU: Sabah kekal dengan pendirian bahawa Akta Laut Wilayah 2012 (TSA 2012) tidak terpakai ke atas negeri itu dan ia tidak boleh dirunding di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, berkata begitu juga isu pelantar benua yang kekal berada dalam wilayah negeri seperti diisytiharkan dalam North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.
Katanya, tuntutan itu direkodkan secara rasmi sebagai perkara yang 'tidak boleh dirunding' di bawah MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 September lalu.
Beliau berkata, meskipun ada perkembangan yang signifikan pada mesyuarat MTPMA63 itu dengan tuntutan dan hak negeri yang lain, tuntutan berkaitan TSA 2012 dan pelantar benua masih kekal dalam senarai 'setuju untuk tidak bersetuju'.
"Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof turut menyatakan bahawa perkara ini akan terus dibincangkan di peringkat tertinggi di antara Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
"Sehubungan itu, Jabatan Peguam Besar Sabah kekal komited dalam mempertahankan pendirian Kerajaan Negeri dalam perkara ini secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Jabatan Peguan Besar Sabah untuk bertindak sebagai 'amicus curiae' dalam kes mengenai tuntutan laut wilayah baru-baru ini, beliau berkata, pihaknya menghormati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi itu.
"Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) juga memberi sokongan kepada jabatan ini untuk memberikan bantuan dalam kes itu, namun Peguam Negara Persekutuan membantah perkara berkenaan.
"Bagaimanapun, adalah menjadi budi bicara mahkamah untuk menentukan sama ada bantuan kami diperlukan atau tidak dalam menyelesaikan pertikaian undang-undang di antara kedua-dua pihak ini. Dalam kes ini, mahkamah membuat keputusan yang sebaliknya," katanya.
Brenndon berkata, walaupun dengan keputusan itu, Jabatan Peguam Besar Sabah akan terus ikhlas menawarkan sokongan untuk memberikan pandangan perundangan rasmi negeri berkaitan perkara yang membabitkan kepentingan awam.
Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan akan terus memantau perkembangan kes itu dengan teliti.
"Seperti yang dinyatakan juga dalam keputusan mahkamah, masih lagi terbuka bagi Kerajaan Negeri untuk melibatkan diri sebagai pihak dalam prosiding undang-undang itu.
"Pilihan ini akan dipertimbangkan dengan teliti bersama semua pilihan yang lain bergantung kepada keputusan MTPMA63 mengenai perkara ini," katanya.