TAWAU: Bekas isteri kepada pemandu e-hailing bersama adik tirinya dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh.
Bagaimanapun, Nurima Juli, 35, dan Sadam Kiram, 30, masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Januari 2023.
Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun dan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Hakim Datuk Duncan, menetapkan 18 Oktober untuk pengurusan kes, sementara beliau mengemukakan permohonan kebenaran pengecualian untuk mendengar kes itu daripada Hakim Besar Sabah Sarawak.
Pada prosiding itu juga, Duncan mengatakan beliau tidak boleh mendengar kes terbabit bagi mengelak ketidakadilan (injustice) dan penghakiman berat sebelah (bias) memandangkan kes itu sebelum ini didengar di hadapannya ketika tertuduh pertama (Nurima) tampil sebagai saksi utama pihak pendakwaan.
Untuk rekod, perbicaraan kes bunuh berprofil tinggi membabitkan pegawai kanan polis itu, termasuk bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain (B) bersama tujuh individu lain yang didakwa bersubahat dan membunuh Nurman.
Bagaiamanapun, pada 25 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Tawau membebaskan dan melepaskan kesemua lapan tertuduh terbabit selepas pihak pendakwaan memohon untuk tidak meneruskan pendakwaan ke atas semua tertuduh berikutan pengakuan mengejut Nurima yang mengaku membunuh Nurman yang juga bekas suaminya.