Dua beradik hilang dihanyutkan kepala air
16:09 Sep 25, 2024  |  By SabahKini2
Dua beradik hilang dihanyutkan kepala air

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata, ketika itu mereka berada di ruang tamu rumah kongsi ladang sawit tempat bapa mangsa bekerja yang terletak kira-kira 20 meter dari sungai.

KENINGAU: Dua beradik, masing-masing kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun dan bayi lelaki yang baru berumur tiga bulan dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Talangkai Karamatoi Ulu, Sook, di sini, Selasa lalu.

Mangsa yang juga warga Indonesia itu dikatakan terlepas daripada pegangan ibu bapanya ketika bersiap-siap untuk dimandikan dalam kejadian pada kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata, ketika itu mereka berada di ruang tamu rumah kongsi ladang sawit tempat bapa mangsa bekerja yang terletak kira-kira 20 meter dari sungai.

Katanya, tanpa disedari arus sungai atau kepala air secara tiba-tiba mengalir dengan deras hingga melimpahi tebing dan menghanyutkan rumah kongsi, menyebabkan situasi bertukar huru-hara dan tidak terkawal.

Beliau berkata, sebelum kejadian itu, berlaku hujan lebat selama beberapa jam namun mangsa tidak menyangka boleh berlaku kepala air dan menyifatkan kejadian itu yang pertama di kawasan berkenaan.

"Sebelum dihanyutkan kepala air, bapa mangsa sempat meninjau di luar selepas terdengar teriakan pekerja lain di luar rumah mengatakan berlaku kejadian 'gempa'.

"Namun, secara tiba-tiba, kepala air terus menerjah rumah mereka tetapi bapa mangsa dikatakan sempat masuk semula ke dalam rumah dan ketika itu ibu mangsa sedang memegang bayi, manakala bapanya memegang anak perempuannya.

"Bagaimanapun kedua-dua mangsa terlepas dari pegangan kedua-dua ibu bapanya selepas kediaman mereka dirempuh kayu balak yang turut dihanyutkan kepala air dan banjir," katanya ketika dihubungi.

Yampil berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa sedang dijalankan membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan penduduk kampung.

"Pakaian yang dipakai kedua-dua mangsa ketika kejadian iaitu bayi memakai baju warna putih dan berseluar pendek warna merah jambu manakala kakaknya memakai baju gaun warna putih dan merah.

"Ibu bapa mangsa yang turut dihanyutkan arus deras banjir mengalami kecederaan dan kini masih berada di Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya. 

Comment