Untuk rekod, jumlah ahli GISBH dianggarkan mencecah 10,000 orang meliputi individu di dalam dan luar negara, ia berdasarkan hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), setakat ini.
KUALA LUMPUR: Aktiviti perniagaan dan rumah amal kendalian syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) hampir lumpuh sepenuhnya selepas polis menyita dan membekukan pelbagai akaun milik syarikat itu bagi membantu siasatan.
Pusat perniagaan yang turut menempatkan ibu pejabat syarikat berkenaan di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor, kini ibarat 'pekan hantu' susulan serbuan dan sitaan pihak berkuasa dalam Op Global Fasa 4, pada Sabtu lalu.
Malah, puluhan restoran, pasar raya dan premis perniagaan lain di seluruh negara turut menghentikan operasi.
Kebanyakan pengikut dan pekerja juga dipercayai sudah melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Ini berikutan pemimpin termasuk ketua jemaah itu ditahan polis dalam siri serbuan di seluruh negara yang bermula pada 18 September lalu.
Untuk rekod, jumlah ahli GISBH dianggarkan mencecah 10,000 orang meliputi individu di dalam dan luar negara, ia berdasarkan hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), setakat ini.
Difahamkan, PDRM ketika ini menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut bukan saja atas dakwaan pengabaian, penderaan, salah laku seksual dan mengeksploitasi kanak-kanak malah turut menjurus kepada pengubahan wang haram.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis masih meneruskan siasatan terhadap GISBH secara berfasa dan berhati-hati mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.
Beliau berkata, pihaknya kini giat mengumpul bukti dan segala keterangan bagi membantu siasatan.
"Siasatan masih lagi berjalan. Kita (polis) kumpulkan segala keterangan yang menjurus kepada kesalahan dalam sesuatu undang-undang," katanya.
Harian Metro kelmarin, melaporkan, 280 premis yang ada kaitan dengan GISBH diserbu PDRM menerusi Fasa 4 Op Global yang bermula pada 21 September lalu.
Razarudin dilaporkan berkata, pada serbuan dijalankan di 59 premis, pihaknya turut melakukan tangkapan serta rampasan. Manakala 221 premis pula didapati kosong, dipercayai ahli GISBH sudah melarikan diri.
Selain itu, katanya, PDRM sudah membekukan 153 akaun bank dengan 138 daripadanya membabitkan jumlah RM882,795.94 manakala 15 lagi ditutup.
Beliau dipetik berkata, tindakan pembekuan dilakukan mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dan penyitaan mengikut Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman.
Tambah beliau, tindakan penyitaan juga turut dijalankan mengikut Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dengan jumlah terkini keseluruhan seperti 16 kereta pelbagai jenis bernilai RM2,078,000, 26 haiwan terdiri daripada sembilan kuda, 14 arnab dan tiga burung merak selain wang RM18,650.