Langkah itu bagi memastikan operasi Persekutuan dapat diteruskan menjelang pilihan raya akan datang serta tidak berlaku gangguan perkhidmatan.
WASHINGTON: Kongres Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang (RUU) pembiayaan jangka pendek, sekali gus mengelak penutupan kerajaan yang hampir berlaku.
Langkah itu bagi memastikan operasi Persekutuan dapat diteruskan menjelang pilihan raya akan datang serta tidak berlaku gangguan perkhidmatan.
Senat meluluskan RUU itu dengan undian 78-18, semalam, selepas Dewan Perwakilan meluluskannya dengan undian 341-82, lapor Xinhua.
Pakej itu yang dirundingkan oleh Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson bersama pemimpin Demokrat, bakal mengekalkan pembiayaan kerajaan pada tahap semasa hingga 20 Disember depan, seterusnya membuka ruang untuk rundingan bajet baharu dalam tempoh tiga bulan akan datang.
RUU itu juga merangkumi tambahan AS$231 juta untuk Perkhidmatan Rahsia bagi memperkukuh keselamatan dalam kempen Presiden, susulan dua cubaan pembunuhan terhadap bekas Presiden AS, Donald Trump yang juga calon Presiden daripada parti Republikan.
Trump sebelum ini menuntut ahli Republikan di Kongres mendesak penutupan kerajaan sekiranya Akta Perlindungan Kelayakan Pengundi Amerika tidak diluluskan.
Akta itu akan mewajibkan semua warganegara AS menunjukkan bukti kewarganegaraan untuk mendaftar sebagai pengundi, walaupun undang-undang semasa telah melarang bukan warganegara daripada mengundi dalam pilihan raya persekutuan.
Presiden Joe Biden dijangka menandatangani RUU itu sebelum 30 September ini apabila tahun fiskal berakhir.