Sabah tubuh SCAC atasi isu perubahan iklim
16:09 Sep 27, 2024  |  By SabahKini2
Sabah tubuh SCAC atasi isu perubahan iklim

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah telah membuat pindaan ke atas Ordinan Tanah Sabah Bab 68, dengan memasukkan peruntukan perundangan berkaitan penyimpanan karbon yang mula berkuatkuasa pada 19 Jun 2023.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menubuhkan Majlis Tindakan lklim Sabah (SCAC) yang akan bertindak dalam menetapkan hala tuju dan menyelaras projek-projek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah telah membuat pindaan ke atas Ordinan Tanah Sabah Bab 68, dengan memasukkan peruntukan perundangan berkaitan penyimpanan karbon yang mula berkuatkuasa pada 19 Jun 2023.

“Selain itu, Sabah juga baru sahaja menyelesaikan kajian inventori Green house Gas (GHG) Sabah dan penilaian kerentanan untuk pembangunan Dasar Perubahan lklim Sabah ke arah pembangunan rendah karbon Sabah," katanya. 

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Kementerian Ekonomi Malaysia Bersama Kerajaan Negeri Sabah Mengenai Pelaksanaan Inisiatif Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Malaysia, di sini pada Jumaat.

Hajiji diwakili oleh Timbalan Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan. 

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Ketua Setiausaha, Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron, Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Haji Rosli Isa. 

Hajiji berkata, inisiatif CCUS juga selaras dengan iltizam kerajaan negeri dalam menangani isu perubahan iklim dan merealisasikan agenda teknologi hijau negara, serta sumbangan wilayah Sabah kepada komitmen negara merealisasikan 'Nationally Determined Contributions' (NDCs).

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil maklum bahawa Draf Rang Undang-Undang (RUU) CCUS sedang digubal di peringkat Kerajaan Persekutuan dan percaya semua pihak berkepentingan termasuklah kementerian persekutuan, pemain-pemain industri dan kerajaan negeri dilibatkan dalam menyediakan RUU yang komprehensif. 

Beliau berkata, terdapat sembilan mesej utama untuk diketengahkan dalam pelan komunikasi mengenai inisiatif CCUS di Malaysia.

Katanya, ia merangkumi aspek manfaat ekonomi, perlindungan alam sekitar, kesiapsiagaan dan teknikal. 

Hajiji berkata, inisiatif CCUS adalah selamat, diperlukan untuk membantu Malaysia mencapai Aspirasi Bersih Sifar pada tahun 2050. 

"CCUS mengurangkan impak perubahan iklim, pengurusan risiko CCUS melalui penggubalan perundangan dan peraturan yang komprehensif dan pengawalseliaan aktiviti yang berkesan. 

“CCUS membantu Sektor 'Hard-To-Abate' Tempatan bagi menangani Pelepasan Gas Karbon Dioksida, mengurangkan kos penyahkarbonan bagi Sektor Hard-To-Abate Tempatan. 

"Malaysia berpotensi menjadi Hab Serantau CCUS dan ia mendorong pertumbuhan CCUS meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia," katanya. 

Hajiji berharap menerusi kerjasama daripada Kementerian Ekonomi untuk memastikan input daripada Sabah diambil kira bagi memastikan negeri ini tidak tertinggal dalam inisiatif CCUS. 

Katanya, kerajaan negeri melalui kementerian, jabatan dan agensi negeri Sabah yang berkaitan akan memberikan kerjasama sepenuhnya memberikan input yang diperlukan dalam pelaksanaan inisiatif CCUS. 

Comment