Mayat Hazwi Danial A Rashid, 14, ditemukan di dasar tasik berkedalaman empat meter pada 2.48 petang.
KOTA KINABALU: Pelajar tingkatan dua yang mandi di tasik berhampiran perumahan Residensi Manggatal, di sini ditemui lemas, hari ini.
Mayat Hazwi Danial A Rashid, 14, ditemukan di dasar tasik berkedalaman empat meter pada 2.48 petang.
Petugas kesihatan yang berada di lokasi mengesahkan kematiannya pada 2.53 petang.
Difahamkan, mangsa mandi di tasik itu bersama 19 rakan Sekolah Menengah Kebangsaan Tebobon pada 12.30 tengah hari, sebelum disedari tenggelam.
Selain Hazwi, seorang rakannya, Adi Iskandar Abdullah, 14, turut dilapor lemas, namun berjaya diselamatkan rakan lain yang memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
Sementara itu, Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.44 tengah hari dan 13 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diketuai Komander Operasi, Mohd Faizal Alias yang dimaklum bahawa kejadian membabitkan dua mangsa.
"Mangsa pertama berjaya diselamatkan dan diberikan bantuan CPR oleh rakan sehingga sedar.
"Pasukan kemudian melakukan SAR mangsa kedua di tepi dan permukaan tasik. Mayat ditemui dan operasi tamat pada 3.12 petang," katanya.