Rafida Ziaddin terima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah
18:10 Oct 01, 2024  |  By SabahKini2
Rafida Ziaddin terima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah

Pelajar terbabit, Rafida Ziaddin, 19, yang mengambil jurusan perakaunan UMS adalah antara lima pelajar dari universiti itu yang diberikan biasiswa berkenaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS), hari ini.

KOTA KINABALU: Pelajar yang tular membawa guni plastik sebagai bagasi ketika mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, kelmarin, hari ini menerima tawaran Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).

Pelajar terbabit, Rafida Ziaddin, 19, yang mengambil jurusan perakaunan UMS adalah antara lima pelajar dari universiti itu yang diberikan biasiswa berkenaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS), hari ini.

Mereka menerima tawaran biasiswa itu daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif dengan disaksikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Zainudin Aman di Menara Kinabalu, di sini.

Empat penerima lain biasiswa itu ialah pelajar jurusan sains bioteknologi, Gene Ashley Rainol, 20 dan Carlsen Chiam, 19; Puteri Dalilah Sabri, 19 (sains komputer) dan Azalina Berson,19 (perakaunan).

Ditemui selepas itu, Mohd Arifin yang juga EXCO Pendidikan negeri menafikan tawaran biasiswa kepada Rafida diberikan selepas cerita mengenai bagasi guni plastik yang digunakan pelajar itu tular sejak kelmarin.

"Anak-anak kita sudah dibantu. Ketika beliau (Rafida) masuk matrikulasi tahun lalu pun kita ada bantu, Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM1,500.

"Tahun ini, apabila masuk ijazah juga mendapat RM2,000 melalui BUDI. Bantuan budi ini ialah bantuan untuk masuk ke institusi pendidikan tinggi (IPT).

"Beliau juga menerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) pada tahun ini dan sebenarnya sudah disenaraikan serta diputuskan oleh pihak pengurusan BKNS.

"Jawatankuasanya bersidang dan hari ini juga ada lebih kurang 100 yang akan dibincangkan dan diluluskan," katanya.

Mohd Arifin turut menafikan andaian sesetengah pihak yang kononnya seseorang pelajar perlu membawa karung plastik atau ke universiti bagi mendapatkan perhatian.

Sementara itu, katanya di UMS saja kira-kira 300 pelajarnya menerima biasiswa daripada kerajaan negeri dan kira-kira 7,000 orang di semua IPT seluruh negara bagi tahun ini.

"Insya-Allah sasaran kita sehingga ke hujung tahun ini seramai 11,000 anak-anak Sabah akan mendapat biasiswa sama ada yang belajar di dalam atau di luar negeri.

"Di Semenanjung dalam jelajah kita sebelum ini, lebih kurang 2,100 pelajar kita luluskan biasiswa, iaitu biasiswa Kerajaan Negeri Sabah," katanya.

Comment