Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.09 petang.
TUARAN: Seorang wanita berdepan detik cemas selepas kereta pacuan empat roda yang dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Jalan Tamparuli-Ranau, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 22 tahun terbabit bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.09 petang.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi membantu mangsa.
"Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke gaung sedalam 60 meter.
"Terdapat seorang mangsa yang mengalami kecederaan dan terpaksa dibawa naik menggunakan tali ke atas jalan raya," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini.
Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.
Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans untuk rawatan susulan.
"Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.15 petang," katanya.