PM bubarkan Parlimen, adakan pilihan raya mengejut
16:10 Oct 09, 2024  |  By SabahKini2
PM bubarkan Parlimen, adakan pilihan raya mengejut

Parti Liberal Demokratik (LDP) dipimpin beliau sudah mentadbir Jepun selama beberapa dekad tanpa gangguan dan hampir pasti akan dipilih semula.

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba bersedia membubarkan Parlimen Rabu ini menjelang pilihan raya mengejut pada 27 Oktober.

Parti Liberal Demokratik (LDP) dipimpin beliau sudah mentadbir Jepun selama beberapa dekad tanpa gangguan dan hampir pasti akan dipilih semula.

Bagaimanapun Ishiba, yang dinamakan Perdana Menteri baru minggu lalu, mahu mandatnya disokong untuk meneruskan dasar termasuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan di kawasan miskin yang dilanda krisis demografi di Jepun.

Beliau menggantikan Fumio Kishida, yang kerajaannya mengalami defisit kepercayaan, sebahagiannya disebabkan skandal dana sehingga mencetuskan ketidakpercayaan terhadap LDP dan ketidakpuasan hati pengundi terhadap kenaikan harga barangan.

Seorang profesor sains politik di Universiti Tokyo, Yu Uchiyama, berkata dengan membubarkan Parlimen sekarang, pemimpin berusia 67 tahun itu mahu menguji partinya sebelum tempoh 'berbulan madu' tamat.

"Sesetengah pengundi melihatnya sebagai petanda mengecewakan kerana dia sudah menyerah kepada tekanan dalam partinya untuk membubarkan Parlimen atas kepentingan politik," katanya.

Keputusan Perdana Menteri untuk mengadakan pilihan raya awal juga dikritik kerana bercanggah dengan ikrarnya sebelum ini untuk meletak keutamaan berdepan pembangkang di Parlimen.

Pada hujung minggu lalu, Ishiba mengumumkan LDP tidak akan menyokong tindakan memalukan beberapa ahli parti yang terbabit dalam skandal pembiayaan politik untuk berhadapan pilihan raya akan datang.

Uchiyama berkata, pengumuman itu untuk menunjukkan ketegasannya dan kemungkinan boleh mendapat semula kepercayaan orang ramai.

Jepun juga menghadapi krisis demografi yang semakin meningkat disebabkan penduduknya yang semakin tua dan kadar kelahiran kekal rendah, situasi yang disebut Ishiba pada Jumaat sebagai 'kecemasan senyap'.

Beliau berkata kerajaannya akan menggalakkan langkah untuk menyara keluarga seperti waktu kerja yang anjal.

Ishiba juga telah berjanji memastikan ekonomi Jepun muncul daripada deflasi dan mahu meningkatkan pendapatan melalui pakej rangsangan baharu serta sokongan untuk kerajaan tempatan dan isi rumah berpendapatan rendah.

Sementara itu, pembangkang utama, Parti Demokratik Berperlembagaan Jepun, berusaha untuk membezakan dirinya daripada LDP dalam pelbagai isu kepelbagaian, termasuk berikrar untuk menghalalkan perkahwinan sejenis.

Ia juga berjanji untuk membenarkan pasangan suami isteri mengekalkan nama keluarga yang berasingan.

Comment