Skuad wanita Sabah raih mata tunggal, ikat Abu Dhabi Country Club
16:10 Oct 10, 2024  |  By SabahKini2
Skuad wanita Sabah raih mata tunggal, ikat Abu Dhabi Country Club

Gol pertama Sabah dijaringkan pemain import dari Jepun, Eri Narita pada minit ke-10, manakala gol penyamaan dijaringkan pemain kebangsaan, Intan Sarah Anisah Zulgafli atau Intan Serah pada minit ke-77.

KOTA KINABALU: Skuad wanita Sabah FA mengakhiri saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) dengan membawa pulang satu mata menerusi perlawanan terakhir di Wuhan, China, semalam.

Mata tunggal wakil Malaysia itu diraih selepas mengikat Abu Dhabi Country Club dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan 2-2.

Gol pertama Sabah dijaringkan pemain import dari Jepun, Eri Narita pada minit ke-10, manakala gol penyamaan dijaringkan pemain kebangsaan, Intan Sarah Anisah Zulgafli atau Intan Serah pada minit ke-77.

Dalam perlawanan petang semalam, pasukan digelar Sumandak Sabah itu terpaksa bermain dengan 10 pemain bermula minit ke-26 selepas penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan dilayangkan kad merah.

Sebelum itu, skuad bimbingan Justin Ganai itu tewas 0-7 di tangan pasukan tuan rumah, Wuhan Jiangda dan tewas 0-3 di tangan pasukan Korea Selatan, Incheon Red Angels.

Pada sidang media selepas perlawanan, Justin menyatakan kebanggaannya terhadap semua pemain selepas mengikat Abu Dhabi walaupun bermain dengan 10 pemain.

"Saya cukup bangga dengan pemain yang bermain dengan 10 pemain. Kalau bermain 11 orang, mungkin kita dapat jaringan berbeza.

"Tahniah kepada Abu Dhabi kerana layak selepas satu kemenangan dan dua seri. Bagi saya, ia satu pengalaman yang sangat baik kepada pemain," katanya.

Justin turut menyatakan harapannya agar skuad wanita Sabah FA dapat kembali semula ke saingan AWCL pada tahun depan dan tampil dengan lebih kuat.

Comment