46 pegawai kanan jadi sasaran operasi banteras rasuah
16:10 Oct 10, 2024  |  By SabahKini2
46 pegawai kanan jadi sasaran operasi banteras rasuah

Operasi pembanterasan itu menonjolkan risiko bagi sektor birokrat selain meresahkan pelabur yang sememangnya semakin bimbang dengan keadaan ekonomi negara itu.

BEIJING: Kempen antirasuah yang digerakkan secara besar-besaran oleh Presiden China, Xi Jinping, berhasil mensabitkan lebih ramai pegawai kanan selama dua tahun berturut-turut, mengatasi rekod terdahulu.

Operasi pembanterasan itu menonjolkan risiko bagi sektor birokrat selain meresahkan pelabur yang sememangnya semakin bimbang dengan keadaan ekonomi negara itu.

Malah, menurut Suruhanjaya Pusat bagi Pemeriksaan Disiplin (CCDI) hari ini, Timbalan Ketua Badan Pemerhati Rasuah wilayah di Hainan, Chen Xiaobo, sedang disiasat kerana disyaki terbabit dalam 'pelanggaran serius' membabitkan amalan rasuah.

Siasatan terhadap Chen itu menysuli siasatan terhadap ketua pasukan penyiasatan CCDI di jabatan sumber manusia Parti Komunis China (CCP), Li Gang, pada lewat September.

Operasi kali ini menyaksikan 46 pegawai kanan kerajaan menjadi sasaran kempen Xi, yang dikenakan tindakan setakat ini sejak Januari lalu, melepasi rekod 2023 iaitu seramai 45 pegawai kanan.

Bilangan siasatan yang tinggi memperlihatkan peningkatan intensiti kempen antirasuah yang menjadi identiti Xi dalam mendisiplinkan CCP yang memerintah dan menghapuskan saingan politik sejak menerajui kerajaan pada 2012.

Awal tahun ini, pemimpin paling berkuasa China sejak Mao Zedong itu berikrar untuk menunjukkan 'tiada belas kasihan' bagi memerangi rasuah dalam sektor kritikal seperti kewangan, tenaga, farmaseutikal dan infrastruktur.

Secara umumnya, China terus mengetatkan cengkamannya ke atas industri kewangan bernilai AS$66 trilion (RM283.55 trilion), dengan melabelkan pegendali bank sebagai hedonistik.

Xi turut mewujudkan jawatankuasa kerja rasuah kewangan baharu yang menunjukkan iltizam mewujudkan pengawasan lebih kekal terhadap sektor itu.

Sebagai contoh, CCDI pada Jun lalu membuka siasatan terhadap Timbalan Pengurus Besar Citic Group, Xu Zuo, sebuah konglomerat kewangan milik kerajaan.

Tokoh kewangan lain yang disiasat pada 2024 termasuk bekas Naib Presiden Bank Pertanian China, Lou Wenlong dan bekas Naib Presiden Bank Pembangunan China, Li Jiping.

CCDI juga menyiasat bekas Menteri Pertanian, Tang Renjian pada Mei, menjadikannya menteri ketiga yang disingkirkan daripada Kabinet semasa, suatu tindakan yang jarang dilakukan.

Seperti dibuktikan menerusi pengumuman hari ini, kakitangan CCDI sendiri tidak terkecuali dalam usaha besar-besaran China memerangi rasuah, berdasarkan pengumuman badan pemantau rasuah itu sendiri.

Tindakan itu tidak termasuk dua bekas Menteri Pertahanan China yang disingkirkan oleh Politburo CCP sebelum ini.

Pada Jun, CCDI yang disertai 24 dianggota itu mengeluarkan bekas menteri Pertahanan, Li Shangfu, yang pernah bekerja di jabatan pembangunan peralatan, dan pendahulunya Wei Fenghe, bekas ketua Pasukan Roket, yang pernah menyaksikan beberapa pegawai dikenakan tindakan.

Kerajaan Xi sudah memecat sekurang-kurangnya 18 anggota kanan tentera sejak membuka penyiasatan rasuah musim panas lalu ke atas pembelian peralatan sejak 2017.

Dalam petunjuk jelas mengenai kebimbangan Beijing tentang perolehan senjata negara itu, CCP menggesa perubahan kepada sistem perolehan tentera pada sesi Pleno Ketiga yang diadakan pada Julai lalu. 

Comment