Sabah tekad tingkatkan perhidmatan melalui teknologi AI
17:10 Oct 17, 2024  |  By SabahKini2
Sabah tekad tingkatkan perhidmatan melalui teknologi AI

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, AI adalah kuasa yang kuat untuk membentuk semula industri dan merevolusikan cara hidup dan bekerja masyarakat.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tekad dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dengan memperkasa proses pendigitalan melalui pengintegrasian teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebagai Ketua Menteri Sabah, kemajuan dan pembangunan negeri ini terus menjadi perhatian utama.

Menurutnya, AI adalah kuasa yang kuat untuk membentuk semula industri dan merevolusikan cara hidup dan bekerja masyarakat.

"Ketika kita berada di ambang Revolusi Perindustrian Keempat, pengintegrasian AI ke dalam pelbagai sektor seperti tadbir urus tanah, menawarkan peluang dan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini.

"Di dalam bidang pengukuran, harta, dan pembinaan, ia muncul sebagai pemangkin untuk inovasi, mendorong tahap kecekapan, ketepatan, dan prestasi yang belum pernah dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Kongres Antarabangsa Juruukur Sabah Kali Kelapan anjuran Institut Juruukur Diraja Malaysia (RISM) Cawangan Sabah di sini hari ini. Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.

Dalam pada itu Hajiji turut menggesa kerjaya bidang pengukuran menjadi peneraju dalam menerima teknologi AI dan pembelajaran mesin, memainkan peranan transformasi dalam tadbir urus tanah dengan meningkatkan kecekapan kerja, ketelusan, proses pengambilan keputusan, dan sistem penyampaian.

"Dengan mengadaptasi AI, juruukur dapat menyumbang dengan ketara kepada usaha kerajaan Sabah dalam merumuskan, melaksanakan, dan mengurus dasar perumahan, menangani cabaran seperti perumahan mampu milik, serta mengoptimumkan penggunaan tanah dan perancangan bandar.

"Tema Kongres Antarabangsa Juruukur Sabah 2024 iaitu 'AI dan Tadbir Urus Tanah' adalah sesuai memandangkan teknologi AI memberi kesan yang mendalam terhadap pelbagai aspek kehidupan harian dan operasi perniagaan," katanya.

Beliau berkata, kongres berkenaan turut menjadi platform yang baik untuk juruukur meneroka dan memahami kuasa transformasi AI dan pembelajaran mesin.

Menurutnya, ketika masyarakat menerima AI dan kemajuan teknologi, integrasi amalan mampan ke dalam strategi tadbir urus tanah juga penting.

Katanya, tadbir urus tanah yang mampan adalah bagi memastikan pengurusan sumber tanah di negeri ini dijalankan dengan bertanggungjawab, seimbang antara pembangunan ekonomi, perlindungan alam sekitar, serta keadilan sosial.

"AI boleh memainkan peranan penting dalam mempromosikan tadbir urus tanah yang mampan. Dengan memanfaatkan alat berkuasa AI, kita dapat memantau corak penggunaan tanah, mengesan aktiviti haram, dan menilai impak alam sekitar secara langsung.

"Ini membolehkan kita membuat keputusan yang tepat untuk melindungi sumber semula jadi kita dan mempromosikan pembangunan yang mampan.

"Selain itu, AI boleh menyokong pemuliharaan biodiversiti dengan menganalisis data dari pelbagai sumber, seperti imej satelit dan rangkaian sensor, untuk memantau habitat hidupan liar dan mengesan perubahan dalam ekosistem," jelasnya.

Hajiji berkata, maklumat itu adalah penting untuk membangunkan strategi pemuliharaan yang berkesan dan mengurangkan impak perubahan iklim.

Menurutnya, dengan mengintegrasikan AI ke dalam amalan tadbir urus tanah, kerajaan dapat memastikan usaha pembangunan yang mampan, memberi manfaat kepada generasi semasa dan masa depan.

Comment