PPM gagalkan cubaan seludup 1,340 liter minyak petrol ke negara jiran
17:10 Oct 17, 2024  |  By SabahKini2
PPM gagalkan cubaan seludup 1,340 liter minyak petrol ke negara jiran

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Mohamad Ismail berkata, rampasan pertama membabitkan sebanyak 600 liter minyak petrol di Jeti Kampung Air Semporna, kira-kira jam 2.05 petang.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna merampas 1,340 liter minyak petrol di tiga lokasi berasingan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 hingga 3 petang itu, seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan minyak petrol ini turut ditahan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Mohamad Ismail berkata, rampasan pertama membabitkan sebanyak 600 liter minyak petrol di Jeti Kampung Air Semporna, kira-kira jam 2.05 petang.

“Semasa pemeriksaan dilakukan di jeti berkenaan, anggota PPM merampas sebanyak 600 liter minyak petrol dan menahan seorang lelaki.

“Manakala rampasan kedua pula turut dilakukan di jeti yang sama iaitu sebanyak 260 liter minyak petrol di dalam sebuah bot,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, rampasan ketiga dilakukan kira-kira jam 3 petang di kawasan laut Kampung Singgamata membabitkan sebanyak 480 liter minyak petrol.

Mohamad berkata, semua minyak petrol yang dirampas itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Tangkapan dan semua minyak petrol yang dirampas itu kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM44,707 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Comment