Mahkamah Filipina penjarakan 17 militan DAESH seumur hidup
17:10 Oct 21, 2024  |  By SabahKini2
Mahkamah Filipina penjarakan 17 militan DAESH seumur hidup

Kesemua 17 tertuduh didapati bersalah pada 16 Oktober atas 21 pertuduhan menculik dan melakukan penahanan tidak sah yang serius dengan menyasarkan untuk meminta wang tebusan.

MANILA: Seramai 17 anggota kumpulan militan yang dikaitkan dengan DAESH dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana menculik warga asing dan Filipina di Malaysia hampir 25 tahun lalu, kata Jabatan Kehakiman (DOJ) Filipina hari ini.

Pada April 2000, anggota kumpulan pelampau Islam Abu Sayyaf melakukan penculikan bersenjata terhadap seramai 21 orang di sebuah resort percutian di pulau Sipadan, Sabah.

Tebusan itu ditahan selama berbulan-bulan di dalam hutan Jolo, kira-kira 955 kilometer di selatan Manila sehingga mereka dibayar tebusan bernilai berjuta-juta dolar.

Mangsa yang diculik itu terdiri daripada warga Filipina, Finland, Perancis, Jerman, Lubnan, Malaysia dan Afrika Selatan.

"Sabitan ini mencerminkan usaha tidak berbelah bahagi DOJ dalam menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau goyah," kata DOJ dalam satu kenyataan.

Kesemua 17 tertuduh didapati bersalah pada 16 Oktober atas 21 pertuduhan menculik dan melakukan penahanan tidak sah yang serius dengan menyasarkan untuk meminta wang tebusan.

Kesemua mereka dijatuhi hukuman penjara seumur hidup bagi setiap pertuduhan, kata keputusan setebal 157 muka surat yang dilihat AFP.

Dua daripada mereka yang disabitkan kesalahan ialah Hilarion Del Rosario Santos III dan Redendo Cain Dellosa yang turut disenaraikan dalam Senarai Sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Menurut kenyataan DOJ, Santos dan Dellosa disenaraikan dalam sekatan UNSC pada 2008 kerana 'kaitan' mereka dengan Al-Qaeda dan Osama bin Laden selain turut dipercayai menyertai operasi kumpulan militan yang dikaitkan dengan DAESH Abu Sayyaf, Jemaah Islamiyah dan Pergerakan Rajah Solaiman.

Kata kenyataan itu, penculik tidak boleh didakwa dengan keganasan sejak penculikan berlaku pada 2000 sebelum negara mempunyai undang-undang yang berkaitan dengannya.

Tertuduh diperintahkan membayar kepada 21 mangsa 300,000 peso (AS$5,228 atau RM22,492.16) untuk ganti rugi sivil, moral dan ganti rugi teladan.

Comment