Sabah putuskan untuk tarik diri anjur bersama Sukan SEA 2027
18:10 Oct 22, 2024  |  By SabahKini2
Sabah putuskan untuk tarik diri anjur bersama Sukan SEA 2027

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata sebelum ini kerajaan Sabah pada awalnya bersetuju dengan peruntukan sebanyak RM100,528,975 bagi pengelolaan secara bersama.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah memutuskan untuk menarik diri daripada menjadi pengelola secara bersama Sukan SEA 2027 berikutan kekurangan kemudahan yang bersesuaian.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata sebelum ini kerajaan Sabah pada awalnya bersetuju dengan peruntukan sebanyak RM100,528,975 bagi pengelolaan secara bersama.

Katanya, susulan itu kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak swasta dan korporat bagi mendapatkan penajaan dalam bentuk wang tunai serta barangan.

"Penganjuran bagi temasya Sukan SEA 2027 ini sebenarnya akan ditanggung secara bersama oleh kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan korporat.

"Setakat ini komitmen daripada kerajaan negeri adalah sebanyak RM365 juta/ RM350 juta daripada kerajaan Sarawak dan RM15 juta daripada kerajaan Pulau Pinang," katanya dalam jawapan lisan menjawab soalan Chow Kon Yeow (DAP-Batu Kawan), di Dewan Rakyat, hari ini.

Hannah berkata ketika ini, kementerian sedang dalam proses menubuhkan Jawatankuasa Pengelola dan Sekretariat Sukan SEA 2027 melalui perbincangan dengan Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia, pelbagai kementerian berkaitan dan kerajaan negeri.

"Anggaran kos penganjuran Sukan SEA 2027 adalah sebanyak RM700 juta berbanding RM608,741,085 bagi penganjuran Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

"Justeru, pihak kementerian berpandangan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 boleh dianjurkan dengan menggunakan pendekatan yang lebih berhemah, minimalis dan bersekala kecil.

"Kemudahan-kemudahan sedia ada sudah mencukupi untuk tujuan penganjuran dengan kos naik taraf yang lebih ekonomikal berbanding pembinaan tempat pertandingan yang baharu," katanya.

Kerajaan pada 28 Ogos lalu,sudah meluluskan cadangan untuk Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.

Comment