Lebih RM1 juta mercun, bunga api dirampas PPM Kota Kinabalu
18:10 Oct 25, 2024  |  By SabahKini2
Lebih RM1 juta mercun, bunga api dirampas PPM Kota Kinabalu

Serbuan menerusi Op Taring, kira-kira jam 3 petang oleh PPM Kota Kinabalu itu hasil risikan di kawasan berkenaan kerana disyaki menjalankan aktiviti mencurigakan.

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai lebih RM1 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Sepanggar, di sini Khamis lalu.

Serbuan menerusi Op Taring, kira-kira jam 3 petang oleh PPM Kota Kinabalu itu hasil risikan di kawasan berkenaan kerana disyaki menjalankan aktiviti mencurigakan. 

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslee Abd Rahman berkata, anggota serbuan kemudian membuat pemeriksaan terhadap rumah berkenaan. 

"Hasil pemeriksaan menemukan longgokan kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api seperti 399 Happy Boom, Red Crackers (Cake), 1'36 Shot Celebration, Noise Tricker Single Bang, Happy Boo Dush 30 dan lain-lain. 

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai berjumlah RM1,038,945.60," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk dokumentasi.

"Semua mercun dan bunga api yang dirampas dipercayai lari daripada cukai Kastam.

"Barang rampasan disiasat mengikut Akta Kastam kerana kesalahan menjual/menyimpan barang-barang tanpa lesen dan permit mengimport mercun/bunga api," katanya.

Comment