Sabah tekad lindungi masa depan industri minyak sawit
15:10 Oct 28, 2024  |  By SabahKini2
Sabah tekad lindungi masa depan industri minyak sawit

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, industri berkenaan menyumbang 22 peratus atau RM6.22 bilion kepada pendapatan negeri dari 2018 sehingga 2023.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tekad untuk melindungi masa depan industri minyak sawit yang merupakan komoditi eksport paling penting di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, industri berkenaan menyumbang 22 peratus atau RM6.22 bilion kepada pendapatan negeri dari 2018 sehingga 2023.

Katanya, Sabah sebagai kuasa besar dalam industri minyak sawit di Malaysia, menyedari cabaran untuk memastikan industri ini kekal relevan pada masa depan.

"Oleh itu, kerajaan perlu bersedia dan harus memperkenalkan pendekatan inovatif bagi membantu industri ini mencapai dan memenuhi keperluan pensijilan peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya pada Persidangan Minyak Sawit Dunia 2024, di sini hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Hajiji berkata, sambil menelusuri masa depan negeri ini, inovasi dan kelestarian mesti kekal sebagai teras usaha semua pihak.

Katanya, Sabah telah menggunakan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kesan alam sekitar dalam pengeluaran minyak sawit.

Beliau berkata, pertanian yang tepat, mekanisma dan teknik pengurusan perosak yang maju antara inovasi sedang dilaksanakan untuk meningkatkan hasil serta kelestarian.

Pada 2023 katanya, Sabah menghasilkan 4.5 juta tan minyak sawit mentah (CPO) dan kekal sebagai pengeluar CPO terbesar di negara ini kerana hasil buah yang unggul dan kadar pengekstrakan minyak yang tinggi.

“Kerajaan negeri mempunyai 128 kilang sawit di seluruh Sabah, dengan kapasiti memproses sehingga 34.7 juta tan tandan buah segar (FFB) setiap tahun. Kadar pengekstrakan minyak (OER) negeri ini adalah sebanyak 20.4 peratus adalah yang tertinggi di negara ini.

“Hab industri di Sabah sangat penting untuk mengekalkan pertumbuhan ini. Kerajaan Sabah memiliki Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu di Pantai Timur Sabah yang meliputi kawasan seluas 4,400 ekar. Ia memberikan sokongan penting kepada industri ringan, sederhana dan berat.

“POIC mempunyai pelabuhan khusus untuk kargo pukal, kargo cecair dan kontena. Pelabuhan ini terletak di pelabuhan dalam kawasan semula jadi yang mampu menampung kapal kargo besar,” katanya.

Selain itu, Hajiji berkata, POIC Sawit seluas 2,810 ekar di Sandakan dibawah pengurusan Sawit Kinabalu Sdn Bhd, direka untuk menggalakkan pelaburan dalam industri hiliran minyak sawit.

“Kedua-dua POIC terletak strategik berhampiran ladang kelapa sawit dan kawasan yang kaya dengan sumber dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA). Hab ini adalah infrastruktur penting bagi pembangunan industri di Pantai Timur Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, industri minyak sawit Sabah memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menyokong matlamat Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar menjelang 2050 selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Menurutnya, Sabah menyumbang 25.75 juta tan biojisim daripada aktiviti pengilangan dan penanaman kelapa sawit, sekali gus menyediakan peluang besar untuk tenaga boleh diperbaharui dan inovasi pada tahun lepas.

“Kami memperkenalkan Polisi Industri Biojisim Kelapa Sawit pada awal tahun ini yang akan mengawal eksport dan pengeluaran biojisim, seterusnya memastikan Sabah mendapat manfaat daripada sumber yang berharga ini.

“Kami yakin bahawa dengan kerjasama strategik diantara sektor awam dan swasta, kita dapat menjadikan Sabah sebagai peneraju global dalam pengeluaran minyak sawit yang lestari,” katanya.

Beliau juga menyeru semua pihak berkepentingan, pelabur, perniagaan dan pembuat dasar untuk menyertai kerajaan negeri dalam menjadikan Sabah sebagai hab global bagi pengeluaran minyak sawit yang lestari.

“Dengan melabur dalam pemprosesan hiliran, mengadaptasi teknologi canggih dan mengekalkan piawaian kelestarian tertinggi, kita dapat memastikan industri penting ini terus berkembang sambil menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan makmur untuk semua,” katanya.

Comment