KOTA KINABALU: Sabah yakin mampu mencapai sasaran untuk memperluas Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) kepada 30 peratus iaitu kira-kira 2.2 juta hektar dari keluasan tanah negeri ini menjelang 2025.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pada masa ini Jabatan Perhutanan Sabah sedang mengenal pasti kawasan seluas kira-kira 220,000 hektar lagi untuk diwartakan sebagai TPA, dalam usaha untuk mencapai sasaran 30 peratus itu.
Menurutnya, sejak penubuhannya 110 tahun lalu, Jabatan Perhutanan Sabah mencapai pelbagai kejayaan termasuk peningkatan TPA yang meningkat kepada 2.0 juta hektar atau kira-kira 27.3 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah Sabah pada masa ini.
Katanya, jabatan itu juga sedang dalam peringkat akhir untuk membuat pindaan kepada Enakmen Hutan 1968 bagi memodenkan kerangka tadbir urus hutan Sabah dan perundangan berkaitan perhutanan agar selaras dengan realiti semasa.
"Legasi Jabatan Perhutanan Sabah sepanjang 110 tahun yang lalu memberikan asas yang kukuh untuk perubahan yang diperlukan ini dan mencerminkan komitmen Sabah untuk menyesuaikan diri kepada cabaran dunia moden," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-20 'Harmonizing Forestry Towards Sustainability' dan Sambutan Ulang Tahun Ke-110 Jabatan Perhutanan Sabah di sini semalam.
Dalam pada itu, Hajiji turut berbangga dengan Jabatan Perhutanan Sabah kerana mencapai beberapa kejayaan penting dalam tempoh 110 tahun penubuhannya.
“Antara pencapaian penting itu ialah sedang memuktamadkan Pelan Induk Hutan Negeri Sabah, berjaya melancarkan Pelan Tindakan Strategik Sabah Kedua dan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan selama 15 tahun dari 2022 sehingga 2036.
“Hari ini, satu lagi kejayaan Jabatan Perhutanan Sabah iaitu pelancaran Pelan Tindakan Bakau Sabah (SMAP) yang dihasilkan dengan usaha bersama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Sabah.
"Objektif utama SMAP ini adalah untuk menyediakan garis panduan dan arah transformasi bagi perancangan dan pengurusan hutan bakau di Sabah.
"Namun semua kejayaan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita leka kerana pelbagai cabaran perlu dihadapi terutamanya ancaman terhadap ekosistem hutan seperti isu perubahan iklim dan perubahan guna tanah untuk tujuan pertanian dan pembangunan,” katanya.
Selain itu jelasnya, Jabatan Perhutanan Sabah juga dilantik sebagai sekretariat untuk Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) bagi memacu agenda perubahan iklim negeri.
Menurutnya, SCAC menyelaras usaha untuk mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, mengintegrasikan perhutanan ke dalam strategi iklim yang lebih luas.
"Sebagai contoh, jualan kredit karbon daripada Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut ataupun lebih dikenali sebagai Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut (KRCP) di Sabah menerusi 'Bursa Carbon Exchange' (BCX) adalah penjualan kredit karbon pertama Malaysia di bawah BCX.
“Setakat ini, Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut berjaya menjana lebih kurang 4.2 juta Unit Karbon Disahkan ataupun 'Verified Carbon Units' (VCUs),” katanya.
Mengenai persidangan itu, beliau berharap agar semua peserta dapat terlibat aktif dalam perbincangan dan berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing bagi memastikan sektor perhutanan kekal memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dan kelestarian alam sekitar.
“Ini juga bersesuaian dengan tema persidangan pada tahun ini iaitu 'Harmonizing Forestry Towards Sustainability' yang mana selaras dengan matlamat kelestarian global, terutamanya Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menekankan tanggungjawab holistik untuk mengurus dan melindungi sumber hutan untuk generasi akan datang,” katanya.