Korea Selatan dakwa Korea Utara lancar peluru berpandu balistik kedua
16:11 Nov 05, 2024  |  By SabahKini2
Korea Selatan dakwa Korea Utara lancar peluru berpandu balistik kedua

Bagaimanapun, Korea Utara menafikan pembabitan berkenaan dan kini berdepan dengan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk menarik balik tenteranya dari Russia.

SEOUL: Tentera Korea Selatan mendakwa Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat hari ini dan merupakan pelancaran kedua negara itu terhadap Korea Selatan.

Minggu lalu, Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) iaitu bahan api pepejal yang paling maju dan berkuasa dalam ujian senjata pertama Korea Utara sejak negara itu didakwa menghantar tentera mereka bagi membantu Russia berperang dengan Ukraine.

Bagaimanapun, Korea Utara menafikan pembabitan berkenaan dan kini berdepan dengan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk menarik balik tenteranya dari Russia.

Dalam pada itu, Korea Selatan memberi amaran bahawa beribu-ribu askar dikerahkan ke Russia termasuk di Kursk.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata, mereka mengesan pelancaran beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat sekitar jam 7 pagi hari ini di kawasan perairan timur semenanjung Korea Selatan.

Peluru berpandu berkenaan disasarkan sejauh kira-kira 400 kilometer (km) dan tentera Korea Selatan mendakwa mereka berjaya menjejaki pelancaran peluru berpandu berkenaan secara langsung serta memberi maklumat berkenaan kepada Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

"Sebagai persediaan untuk pelancaran tambahan, tentera kami telah mempertingkatkan pengawasan dan kesiapsiagaan," kata Ketua Turus Bersama Korea Selatan.

Menurut Jurucakap Kerajaan Jepun, pihaknya mengesahkan ujian senjata terbaharu daripada Korea Utara berkenaan dan tindakan sedemikian telah mengancam keamanan dan keselamatan negara berkenaan.

Kelmarin, Korea Selatan, Jepun dan AS mengadakan latihan udara bersama membabitkan pesawat pengebom B-1B AS, jet pejuang F-15K dan KF-16 Korea Selatan, serta jet F-2 Jepun, sebagai tindak balas terhadap pelancaran ICBM berkenaan.

Latihan bersama seperti itu membangkitkan kemarahan Korea Utara yang melihatnya sebagai persediaan bagi pencerobohan di negara itu. 

Comment