Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengeluarkan arahan itu ketika lawatan kerja di Kementerian Kerja Raya Sabah, hari ini.
KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah diarah menyelesaikan isu 'jalan macam di bulan' atau jalan rosak yang sering menjadi rungutan pengguna jalan raya di Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengeluarkan arahan itu ketika lawatan kerja di Kementerian Kerja Raya Sabah, hari ini.
Katanya, tindakan proaktif perlu diambil, termasuk mengarahkan syarikat konsesi yang bertanggungjawab membaiki segera kerosakan jalan raya di seluruh negeri itu.
"Kita mesti sentiasa memikirkan mengenai keperluan rakyat. Tanpa tindakan, kerajaan dan JKR akan terus menerima kecaman daripada rakyat," katanya.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Hajiji menekankan pentingnya kerja pemantauan dilaksanakan secara berkala di semua laluan seluruh negeri, sama ada jalan negeri atau persekutuan.
"Beri perhatian terhadap keluhan rakyat, ada banyak aduan biasa. Jadi, saya mahu JKR negeri tidak menunggu (aduan), tapi cari penyelesaian segera terhadap masalah itu," katanya.
'Jalan macam di bulan' merujuk kepada keadaan jalan raya yang berlubang-lubang dan berlopak apabila hujan sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan, selain ada yang rosak.
Selain itu, Hajiji turut menyentuh mengenai langkah untuk menyelesaikan isu air tidak berhasil (NRW) yang masih banyak berlaku di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri akan mendapatkan penyiasat bebas bagi mencari punca NRW yang ketika ini berada pada paras 60 peratus, kebanyakannya disebabkan kes curi air.