SAFA nafi tawar jual saham Sabah FC
18:11 Nov 07, 2024  |  By SabahKini2
SAFA nafi tawar jual saham Sabah FC

Presidennya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata SAFA tidak pernah bertemu dengan individu atau mana-mana wakil yang mendakwa mendapat tawaran saham kelab bola sepak itu.

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), menafikan wujud sebarang rundingan dengan mana-mana pihak yang mendakwa menerima tawaran penjualan saham Sabah FC.

Presidennya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata SAFA tidak pernah bertemu dengan individu atau mana-mana wakil yang mendakwa mendapat tawaran saham kelab bola sepak itu.

Katanya, ia termasuk dakwaan pihak terbabit yang kononnya perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Kenyataan ini dikeluarkan untuk menjelaskan pendirian SAFA dan Sabah FC bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau salah faham berkaitan dakwaan itu.

"Sekali lagi saya tegaskan, SAFA tidak pernah bertemu individu atau dengan mana-mana wakil yang mendakwa mendapat tawaran penjualan saham Sabah FC," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mengulas satu laporan di laman Facebook Datuk Seri Azizul Tandek, iaitu pemilik DSAT Group yang mendakwa syarikatnya ditawarkan untuk mengambil alih Sabah FC.

Dalam laporan itu, Azizul antara lain mengucapkan terima kasih kepada Presiden SAFA yang juga Timbalan Ketua Menteri selepas bersetuju menawarkan Sabah FC.

Comment