LAHAD DATU: Seorang penunggang motosikal maut dan pemboncengnya parah selepas terbabit kemalangan dengan sebuah van di Kilometer 4, Jalan Lahad Datu - Tungku, di sini, malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, dalam kejadian jam 11.10 malam itu, lelaki warga Indonesia berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan van dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 68 tahun.
“Pemandu van bersama dua penumpang dari arah Lahad Datu ke Tungku hendak membelok masuk ke simpang sebelah kanan.
"Pada masa yang sama, tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang mangsa bersama pembonceng yang datang dari Tungku ke Lahad Datu terlanggar bahagian tepi sebelah kiri van berkenaan.
"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng parah dan dikejarkan ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media di sini.
Dzulbaharin berkata, pemandu van dan dua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Sampel darah pemandu dan penunggang diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu, bagi tujuan ujian alkohol dan dadah," katanya.
Katanya, orang ramai yang melihat kejadian itu boleh terus menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Sehubungan itu, Dzulbaharin mengingatkan semua pemandu kenderaan supaya memandu dengan berhati-hati dan berhemah supaya tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.