Pegawai Bomba (PB) Cliverenno Melikim berkata, terdahulu beliau sedang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran sebelum menerima panggilan berhubung insiden kebakaran itu.
BELURAN: Seorang anggota bomba terkejut, namun tetap menguatkan semangat menjalankan operasi memadam kebakaran sebuah rumah pusaka berusia lebih 40 tahun yang diwarisinya di Kampung Kuala Sapi, di sini, awal pagi tadi.
Pegawai Bomba (PB) Cliverenno Melikim berkata, terdahulu beliau sedang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran sebelum menerima panggilan berhubung insiden kebakaran itu.
"Saya begitu terkejut tetapi menguatkan semangat untuk bergerak ke lokasi yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.
"Setiba di lokasi, rumah pusaka itu didapati musnah dijilat api. Saya berasa amat sedih dan terkilan, namun rakan-rakan sekerja memberikan kata-kata semangat sebelum kami mengatur gerak operasi memadam kebakaran.
"Ketika kejadian, ipar berusia 35 tahun bersama dua anaknya dan seorang lagi anak saudara saya berada di rumah itu. Kesemua mereka sempat menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap rumah. Bagaimanapun, ipar saya mengalami kecederaan ringan melecur di bahagian tangan," katanya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menceritakan lanjut, Cliverenno berkata, kediaman terbabit didirikan mendiang datuk sebelum diserahkan kepada ibunya dan kini diwarisi beliau.
Malah, katanya, beliau membesar di rumah pusaka itu, manakala laluan masuk ke kediaman terbabit adalah berbukit dengan jalannya kini dalam proses penambahbaikan.
"Susulan insiden kebakaran itu, kami sekeluarga menumpang di rumah saudara yang terletak berdekatan rumah pusaka, buat masa ini.
"Kami kehilangan rumah dalam sekelip mata akibat kebakaran itu, namun tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat," katanya.
Sementara itu Ketua BBP Beluran, Penolong Penguasa Bomba Edoen Macheal, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.29 pagi tadi sebelum sebuah jentera bersama 11 anggota digerakkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.58 pagi dan operasi ditamatkan jam 6.25 pagi. Terdapat seorang mangsa wanita cedera ringan dan diberi rawatan awal oleh pasukan bomba.
"Rumah yang terbakar adalah milik pusaka seorang anggota bomba. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.