Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya sudah diberi penerangan mengenai kejadian berkenaan.
PAPAR: Kerajaan negeri akan cuba memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi membina semula stor farmasi di Hospital Papar, di sini, yang musnah dalam kebakaran semalam.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya sudah diberi penerangan mengenai kejadian berkenaan.
"Kita diberi penerangan mengenai kejadian dan punca kebakaran masih disiasat oleh pihak bomba, tetapi kita juga melawat (hospital) ini bagi melihat keadaan sebenarnya.
"Jadi saya dimaklumkan dari segi ubat-ubatan yang rosak dan sebagainya, kosnya melebihi RM1.3 juta manakala bangunannya (stor farmasi) belum dapat ditentukan (kos).
"Kita di pihak kerajaan negeri amat prihatin jadi kita akan cari jalan termasuk meminta kerajaan persekutuan supaya membina semula bangunan yang rosak itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di lokasi kejadian, hari ini.
Semalam, media melaporkan stor farmasi hospital berkenaan terbakar dalam kejadian kira-kira jam 7 malam.
Kebakaran membabitkan sebuah stor perubatan farmasi manakala sebuah bangunan bilik makmal kajian terjejas terkena bahang.
Tiada mangsa dilaporkan terbabit setakat ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.