Golongan miskin di Sabah terima bantuan khas RM300 sebulan, selama setahun
09:11 Nov 16, 2024  |  By SabahKini2
Golongan miskin di Sabah terima bantuan khas RM300 sebulan, selama setahun

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM358.5 juta untuk golongan miskin dan miskin tegar di Sabah akan menerima bantuan khas sebanyak RM300 sebulan selama setahun menerusi Belanjawan 2025.

KOTA KINABALU: Golongan miskin dan miskin tegar di Sabah akan menerima bantuan khas sebanyak RM300 sebulan selama setahun menerusi Belanjawan 2025.

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM358.5 juta.

Katanya, inisiatif yang julung kali diperkenalkan itu adalah antara usaha bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini.

Katanya, harga barangan dijangka meningkat berikutan pelarasan gaji kakitangan awam dan penetapan gaji minimum baharu swasta pada tahun depan yang memberi kesan kepada golongan bekerja sendiri seperti petani, nelayan, penjaja dan yang tidak mempunyai pekerjaan serta pendapatan tetap.

"Dengan mengambil kira jumlah pendapatan yang diterima masih berada di tahap yang sama, kenaikan harga barangan ini secara langsung akan membebankan kehidupan keluarga.

"Oleh itu, bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup yang lebih tinggi, buat julung kalinya pada tahun depan, kerajaan Sabah akan menyantuni golongan yang terkesan dalam kategori miskin dan miskin tegar yang telah dikenal pasti.

"Usaha ini dilaksanakan melalui Program Sentuhan Kasih Rakyat dengan bantuan khas sebanyak RM300 sebulan selama setahun yang membabitkan peruntukan berjumlah RM358.5 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Masidi berkata, bantuan itu juga diharap dapat mengurangkan beban kewangan dalam tempoh tertentu sekali gus memberi ruang kepada golongan miskin dan miskin tegar untuk menyesuaikan diri dan mencari ikhtiar lain dalam menambah pendapatan.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan itu berkata kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM488.5 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan di negeri ini menerusi Belanjawan 2025.

Katanya, ia sebagai usaha berterusan bagi memastikan golongan miskin tidak ketinggalan dari arus perdana pembangunan, sama ada dari segi taraf hidup, kebajikan atau ekonomi.

Beliau berkata, antara program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan pada tahun depan ialah pembinaan sebanyak 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan peruntukan RM250 juta di semua 73 kawasan DUN.

Setakat Oktober 2024, katanya, sebanyak 4,482 buah Rumah Mesra SMJ sudah dibina di seluruh negeri.

"Dalam belanjawan kali ini juga, buat pertama kali bantuan one-off sebanyak RM5,000 disediakan kerajaan negeri sebagai tanda keprihatinan kepada peniaga gerai kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan sah.

"Selain itu, sebanyak RM214 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja di bawah peruntukan khas dan projek pembangunan kecil bagi pembinaan serta penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam di seluruh Sabah," katanya.

Masidi berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM19.5 juta untuk Program Pembangunan Kecil, Program Penyediaan Kemudahan dan pembaikan Mini Estet Sejahtera (MESEJ), Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan.- BH

1 Comment