Tuntutan Filipina terhadap Sabah, langgar sempadan maritim tanggungjawab Kerajaan Persekutuan
10:11 Nov 16, 2024  |  By SabahKini2
Tuntutan Filipina terhadap Sabah, langgar sempadan maritim tanggungjawab Kerajaan Persekutuan

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya dimaklumkan oleh kerajaan Persekutuan menerusi Wisma Putra yang sudah pun menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan perkara itu.

Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan untuk tindakan selanjutnya berkenaan isu Filipina meluluskan dua akta baharu yang menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, selain melanggar sempadan maritim negeri berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya dimaklumkan oleh kerajaan Persekutuan menerusi Wisma Putra yang sudah pun menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan perkara itu.

"Kerana ia berlaku di perairan negeri kita di Sabah, kita sudah dimaklumkan oleh Wisma Putra dan ini kita serahkan kepada kerajaan Persekutuan.

"Saya mendapat makluman, nota bantahan telah dihantar untuk diselesaikan. Memang kita akan berpandukan kepada sempadan negara.

"Kalau saya tengok peta itu, ia termasuk sedikit dalam sempadan negara. Jadi, kita harap ia dapat diselesaikan secara baik kerana negara Filipina adalah jiran kita.

"Jadi, saya rasa ia perlu kita tangani secara baik dan berhemah sebagai keluarga ASEAN," katanya selepas pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menandatangani dua undang-undang baharu, bertujuan memperkukuh tuntutan negara itu ke atas Laut China Selatan yang dipertikaikan dengan mentakrifkan zon maritim dan laluan laut.

Dua undang-undang baharu itu menuntut hak maritim dan kedaulatan ke atas kawasan dipertikaikan di Laut China Selatan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya sudah menghantar nota bantahan kepada Filipina berkenaan isu terbabit disamping menjelaskan akta baharu itu yang menetapkan persempadanan baharu Filipina melangkaui peta baharu Malaysia yang dibuat pada 1979.

Sebelum ini tuntutan keluarga Sulu telah berjaya ditolak oleh Mahkamah Rayuan di Paris mengesahkan Sabah kekal milik Malaysia. Tuntutan Filipina digerakkan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr hanyalah sebahagian isu legasi politik di Filipina.

Comment