Sabah guna model ECRL sebagai cadangan Projek Keretapi Trans Borneo
14:11 Nov 18, 2024  |  By SabahKini2
Sabah guna model ECRL sebagai cadangan Projek Keretapi Trans Borneo

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, berkata bagi maksud itu, kerjasama ketiga-tiga wilayah perlu bagi pelaksanaan projek berkenaan selepas selesai kajian kemungkinan yang akan bermula bulan depan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melihat pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Semenanjung sebagai model bagi cadangan Projek Keretapi Trans Borneo yang menghubungkan Sabah dengan Sarawak dan Brunei.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, berkata bagi maksud itu, kerjasama ketiga-tiga wilayah perlu bagi pelaksanaan projek berkenaan selepas selesai kajian kemungkinan yang akan bermula bulan depan.

Katanya, tumpuan ketika ini adalah untuk menyelesaikan kajian kemungkinan itu yang diberi tempoh setahun hingga akhir tahun depan dengan peruntukan RM7 juta daripada Kementerian Pengangkutan.

Beliau juga berkata, meskipun projek itu dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan, ia tidak menjejaskan hak Sabah berkaitan urusan kereta api yang termaktub dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

"Sabah akan mempertahankan haknya yang termaktub dalam perlembagaan berkaitan dengan urusan kereta api.

"Namun demikian, kita melihat kepada model pelaksanaan ECRL di Semenanjung yang mana jajarannya meliputi atau merentasi beberapa negeri dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

"Boleh kita katakan bahawa kita amat mengalu-alukan kajian ini dan setelah ia mendapat 'outcome' yang diinginkan, maka pihak Sarawak, Sabah dan negara Brunei Darussalam akan berbincang dengan lebih terperinci untuk pelaksanaan fizikal projek itu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Yusof Yacob (GRS - Sindumin) dan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) berkaitan projek itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata melalui pelaksanaan kajian kemungkinan itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menjadi Ahli Jawatankuasa Pemandu dan Ahli Jawatankuasa Teknikal.

"Keputusan kerajaan negeri dalam pelaksanaan pembinaan fizikal Program Trans Borneo Railway itu adalah bergantung kepada hasil dapatan kebolehlaksanaan kajian kemungkinan itu serta Cadangan Model Pelaksanaan atau Model Kewangan kelak," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kajian kemungkinan itu, beliau berkata ia meliputi tiga skop iaitu, pertama menentukan jajaran yang sesuai untuk landasan dan sistem kereta api dengan mengambil kira aspek ekonomi, sosial dan kos.

Skop kedua, katanya ialah menentukan keseluruhan infrastruktur yang diperlukan di sepanjang laluan seperti lintasan rata, jejambat, stesen dan depoh, manakala skop ketiga melaksanakan kajian kejuruteraan menyeluruh untuk memastikan sistem kereta api yang bakal dibina berteknologi terkini serta berdaya maju setanding sistem kereta api lain di seluruh dunia.

Bagi jajaran di Sabah, katanya, selain laluan menghubungkan Sarawak dan Brunei melalui jajaran Beaufort - Sipitang - Lawas (Sarawak), tiga lagi jajaran turut dimasukkan iaitu Tanjung Aru - Kudat, Sandakan - Pitas - Kudat dan Tawau - Lahad Datu - Sandakan.

Comment