KOTA KINABALU: Satu kajian awal kebolehlaksanaan bagi membangunkan projek perintis tenaga boleh baharu menggunakan teknologi Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) sedang dilaksanakan di Sabah pada tahun ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kajian yang dilaksanakan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan dibiayai Program Boleh Baharu Marin Shell, dijangka siap akhir tahun ini.
Katanya, OTEC adalah unsur tenaga boleh diperbaharui yang memanfaatkan perbezaan suhu antara air laut dalam dan permukaan air laut untuk penjanaan elektrik.
Sabah mempunyai potensi besar bagi membangunkan teknologi berkenaan sebagai alternatif menjana tenaga elektrik untuk keperluan negeri ini.
"Berdasarkan dapatan jururunding, Sabah boleh menghasilkan 20,000 megawatt (MW) tenaga, iaitu 15,000 MW di kawasan pantai barat dan 5,000MW di kawasan pantai timur Sabah menggunakan teknologi OTEC," katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) mengenai perkembangan bidang OTEC di Sabah selepas kelulusan Enakmen OTEC Sabah 2024, baru-baru ini.
Hajiji berkata, setakat ini, Majlis Tenaga Sabah juga meluluskan tiga syarikat tempatan menjalankan kajian kebolehlaksanaan sebagai langkah proaktif menggalakkan pemain industri tempatan dalam pembangunan teknologi OTEC di Sabah.
"Syarikat terbabit diberikan tempoh setahun untuk memuktamadkan kajian mereka. Hasil kajian kebolehlaksanaan itu nanti akan diusulkan semula kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan dan kelulusan," katanya.