JIM Sabah tahan 197 PTI dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen
23:11 Nov 20, 2024  |  By SabahKini2
JIM Sabah tahan 197 PTI dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib berkata, PTI yang ditahan dalam operasi bermula jam 12 sehingga 5 pagi itu termasuklah 49 orang lelaki dewasa, 54 orang perempuan dewasa, 92 kanak-kanak warga Filipina.

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menaham 197 Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen yang dijalankan di rumah kongsi tapak pembinaan perumahan antara dua daerah iaitu Tuaran dan Menggatal pada Rabu.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib berkata, PTI yang ditahan dalam operasi bermula jam 12 sehingga 5 pagi itu termasuklah 49 orang lelaki dewasa, 54 orang perempuan dewasa, 92 kanak-kanak warga Filipina.

“Turut ditahan dua lelaki warga Indonesia dan kesemua tahanan berumur antara tujuh bulan sehingga 62 tahun yang terdiri daripada 85 orang lelaki dan 112 perempuan. 

“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, terdapat dua lokasi serbuan di kawasan tapak pembinaan perumahan yang berkonsepkan penempatan rumah kongsi di Tuaran dan Menggatal. 

“Pola penempatan berkenaan dibina secara berkelompok di atas bukit dengan keadaan tanah yang berlumpur. 

“Kegagalan dalam menyediakan persekitaran rumah yang kondusif menjadi trend menyebabkan PTI terpaksa membina rumah dengan keadaan bersempit dan bersesak yang memuatkan keluarga memberi implikasi negatif kepada kehidupan sosial dan perkembangan hidup kesejahteraan kepada kanak-kanak yang berada di kawasan terbabit,” katanya.

Bercakap lanjut beliau berkata, semasa serbuan dijalankan, terdapat warga asing yang melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak samun. 

Katanya, keadaan jalan berbukit dan curam ditambah dengan pelbagai helah cuba dilakukan PTI berkenaan menyukarkan pergerakan pasukan operasi serta memberi risiko keselamatan termasuk berlaku pergelutan dengan pihak berkuasa. 

Beliau bagaimanapun berkata, keadaan adalah terkawal dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuklah tiada dokumen pengenalan diri Seksyen 6 (1) (c) dan tinggal lebih masa bagi Seksyen 15 (1) (c). 

“Operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Beliau berkata, JIM mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PTI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat berkenaan.

Comment