Warga emas OKU selamat ditemui dalam semak
00:11 Nov 21, 2024  |  By SabahKini2
Warga emas OKU selamat ditemui dalam semak

Mangsa Kurudot@ Johan Bongkuran, 69, yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran ditemui oleh Kelab Sukan Bermotor 4WD Extreme Kota Belud (KB4WDC) pada jarak 150 meter dari kawasan rumahnya pada jam 3.40 petang ini.

KOTA BELUD: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Tambulion Laut, di sini, semalam ditemukan selamat.

Mangsa Kurudot@ Johan Bongkuran, 69, yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran ditemui oleh Kelab Sukan Bermotor 4WD Extreme Kota Belud (KB4WDC) pada jarak 150 meter dari kawasan rumahnya pada jam 3.40 petang ini.

Terdahulu, mangsa disedari hilang oleh ahli keluarganya selepas tidak ditemui di rumah kira-kira jam 7 malam sebelum bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.49 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera utiliti digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak enam kilometer dari balai bomba.

"Sebaik tiba di lokasi, pencarian dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung di kawasan mangsa dikhuatiri hilang.

"Mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada jam 3.40 petang dengan jarak 150 meter dari kawasan rumahnya oleh KB4WDC di kawasan semak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Operasi pencarian ditamatkan kira-kira jam 4 petang," katanya.

Comment