Sabah pantau rapat situasi sempadan maritim
21:11 Nov 21, 2024  |  By SabahKini2
Sabah pantau rapat situasi sempadan maritim

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, usaha itu melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan sama ada di peringkat Persekutuan, mahupun peringkat negeri.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memantau rapat sebarang perkembangan dan situasi semasa di kawasan sempadan maritim Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, usaha itu melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan sama ada di peringkat Persekutuan, mahupun peringkat negeri.

Katanya, ia bagi memastikan isu berkaitan ancaman di kawasan berkenaan ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan sebarang ketegangan di lapangan. 

"Sebarang situasi yang berlaku di kawasan Laut China Selatan mampu memberikan implikasi, sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada keselamatan dan juga ekonomi negara selain mampu menggugat kedaulatan negara.
 
"Kerajaan negeri bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku agensi peneraju keselamatan negara sentiasa proaktif menyelaras pelaksanaan operasi-operasi maritim melalui platform-platform seperti Jawatankuasa Bertindak Operasi Maritim (JBOM) dan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN)," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai usaha penyelarasan antara Sabah dan pihak berkuasa Persekutuan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menjaga sempadan maritim Sabah kerana berdepan dengan ancaman di Laut China Selatan.

Abidin berkata, pelaksanaan operasi-operasi maritim di Laut China Selatan dilaksanakan secara pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government).

Menurutnya, ia bagi memastikan segala strategi dan tindakan kerajaan di kawasan berkenaan adalah secara bersepadu dan mengoptimumkan penggunaan sumber serta aset sedia ada yang dimiliki oleh kerajaan. 

"Ancaman di perairan Laut China Selatan adalah isu yang kompleks dan sensitif. Ia perlu dikendalikan dan diselaraskan dengan hubungan diplomatik antarabangsa secara aman dan rasional bagi mengelakkan berlakunya ketegangan di lapangan.

"Ia selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982. 

"Dalam hal ini, kepentingan negara dari aspek keselamatan dan kedaulatan akan terus dijadikan sebagai asas utama dalam sebarang tindakan yang diambil terhadap isu ancaman di Laut China Selatan," jelasnya.

Menurutnya, di lapangan, agensi-agensi keselamatan iaitu TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Maritim Malaysia sentiasa komited meneruskan operasi strategik di kawasan sensitif di Laut China Selatan dengan mempamerkan kehadiran (show of presence) aset udara dan maritim negara.

Beliau berkata, pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh pasukan agensi keselamatan negara bertujuan memastikan keselamatan aktiviti-aktiviti ekonomi negara seperti aktiviti eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan itu sentiasa terpelihara sepanjang masa di samping mempertahankan kedaulatan negara.

Katanya, beberapa kolaborasi agensi negeri dan Persekutuan melalui operasi bersepadu yang juga melibatkan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), Jabatan Perikanan Sabah, Jabatan Laut Malaysia serta Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah turut dilaksanakan dan diperkukuhkan setiap tahun.

Selain itu jelasnya, Kementerian Luar Negeri juga dengan kerjasama kerajaan negeri aktif dalam mengemukakan bantahan kepada mana-mana negara yang didapati menceroboh kawasan perairan Malaysia. 

Comment