Kedudukan strategik Sabah boleh tarik minat pelabur China
17:11 Nov 22, 2024  |  By SabahKini2
Kedudukan strategik Sabah boleh tarik minat pelabur China

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, terdapat tiga aspek utama yang menjadikan Sabah rakan kerjasama yang menarik bagi pelabur China, termasuk komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan mampan.

KOTA KINABALU: Kedudukan Sabah yang strategik berdekatan dengan kawasan ekonomi utama Asia menjadikan negeri ini destinasi pelaburan yang ideal.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, terdapat tiga aspek utama yang menjadikan Sabah rakan kerjasama yang menarik bagi pelabur China, termasuk komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan mampan.

"Sabah bukan sahaja mengejar pembangunan mampan, kami juga berusaha memelihara warisan semula jadi sambil mengintegrasikan teknologi moden," katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Perniagaan Malaysia (Sabah)-China 2024 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, ekonomi Sabah telah menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan yang mengagumkan.

"Pada tahun 2023, sektor perkhidmatan Sabah berkembang sebanyak 4.5 peratus, menyumbang kira-kira 51 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), terutamanya sektor berorientasikan pelancongan.

"Kekuatan sektor pelancongan jelas terlihat dalam angka terkini. Dari Januari sehingga Julai 2024, Sabah menerima lebih daripada 700,000 pelawat antarabangsa, dengan pelancong dari China menjadi segmen terbesar iaitu lebih daripada 200,000 ketibaan.

"Ini merupakan peningkatan luar biasa sebanyak 905.9 peratus berbanding hanya sekitar 26,000 ketibaan pelancong China pada tempoh yang sama tahun 2023. 

"Angka-angka ini bukan sahaja mencerminkan hubungan erat antara Sabah dan China tetapi juga menunjukkan potensi besar untuk pertumbuhan lanjut dalam sektor pelancongan kami," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri komited terhadap inisiatif tenaga boleh diperbaharui yang menawarkan peluang pelaburan yang besar sambil mengekalkan keprihatinan terhadap alam sekitar.

Katanya, melalui Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), Sabah menyasarkan untuk mencapai lebih 50 peratus campuran penjanaan tenaga boleh diperbaharui dari segi kapasiti megawatt (MW) menjelang tahun 2035.

"Inisiatif ini juga sejajar dengan aspirasi transformasi digital melalui inisiatif  e-Government dan pembangunan infrastruktur digital seterusnya mewujudkan persekitaran mesra perniagaan.

"Kerajaan negeri menekankan pembangunan modal insan. Dengan lebih 90 peratus penduduk Sabah kini mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan asas dan sistem pendidikan yang lebih baik, kerajaan negeri sedang membina tenaga kerja yang berkemahiran untuk ekonomi masa depan.

"Kerjasama Sabah dengan China dalam pemindahan teknologi dan latihan kemahiran akan menjadi elemen penting dalam perkara ini," katanya.

Melihat kepada program sidang kemuncak, Joachim berkata, beliau amat teruja dengan forum-forum yang membincangkan infrastruktur pintar, keselamatan makanan, pelancongan dan tenaga boleh diperbaharui.

"Semua sektor ini mewakili peluang segera untuk kerjasama antara Sabah dan China," katanya.

Joachim berkata, kehadiran perniagaan dan pelabur dari China pada hari ini mencerminkan asas kukuh kepercayaan dan kerjasama antara Sabah dan China.

"Sektor pelancongan telah menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa dalam kalangan pelawat dari China dan kerajaan negeri bersedia untuk mengembangkan kejayaan ini ke sektor lain," katanya.

Joachim turut mengajak para peserta dari China untuk menerokai pelbagai peluang yang dibentangkan sepanjang sidang kemuncak ini, termasuk taman perindustrian negeri, projek tenaga boleh diperbaharui, inisiatif ekonomi digital dan sektor pelancongan.

1 Comment